Ucapan Abdul Hadi sudah tentulah ditunggu-tunggu kerana bukan sahaja pemimpin atau ahli Pas, malah orang luar khususnya orang Melayu ingin mengetahui apakah tindak balas yang akan beliau lakukan berikutan kebiadaban DAP.
Dalam muktamar tahun lalu di Batu Pahat, Johor, Abdul Hadi mengejutkan banyak pihak apabila secara lantang mendedahkan kewujudan ‘barua dan broker’ dalam Pas.
Ia berikutan kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor yang wujud akibat ‘Langkah Kajang’ yang digerakkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan disokong oleh DAP.
Sejak itulah hubungan Abdul Hadi dengan sekutu Pas khususnya DAP tegang, malah suhunya semakin panas apabila Pas tidak mencalonkan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, sebaliknya turut menyenaraikan Mohamed Azmin Ali.
Tindakan Pas itu menimbulkan kemarahan DAP. Mereka mempertikaikan keputusan Abdul Hadi. Hubungan antara kedua-dua pihak bertambah panas apabila Pas bertegas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian bagi membolehkan undang-undang syariah dilaksanakan Kelantan.
Walaupun DAP menentang segala tindakan Pas namun sasaran mereka hanyalah Abdul Hadi. Justeru DAP memutuskan hubungan dengan Ahli Parlimen Marang itu tetapi tetap mahu meneruskan kerjasama dengan Pas.