Tengku Razaleigh Hamzah 
KUALA LUMPUR - ‎Dalam keghairahan untuk mencapai negara maju pada tahun 2020, asas utama mengaitkan pendapatan rakyat yang tidak selari dengan kos sara hidup masih belum ditangani pemerintah.
‎Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, meskipun kadar kemiskinan tegar semakin berkurangan namun hakikatnya rakyat kita masih hidup susah.
"RMK11 itu bagus...tapi saya sendiri berpendapat soal asas perlu ditekankan juga. Walaupun dimaklumkan bahawa kemiskinan tegar telah berkurangan dengan banyak...baguslah...itu kejayaan tapi hakikatnya rakyat susah. Pendapatan rakyat tak sepadan dengan kos yang meningkat. Itu satu faktor yang mesti ditekankan.
"Soal perbekalan air, kita di Selangor dan Kuala Lumpur pun selalu menghadapi masalah air. Tapi kita nak pergi ke arah negara maju. Maju bagaimana?...kalau air pun tak ada. Soal pendidikan, banyak graduan kita yang susah dapat kerja. Kalau dapat kerja pun, gaji tak tinggi.
"Ini yang menjadi masalah kepada kita. Bagaimana kita nak menjana semua jentera untuk memacukan ekonomi kita kalau kemahiran, produktiviti tidak begitu baik?," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan ‎Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Parlimen, hari ini.