KUALA LUMPUR, 19 Mei:

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan bahawa pihaknya tidak mencadangkan penubuhan kabinet bayangan sebaliknya hanyalah cadangan penubuhan Jawatankuasa Parlimen.
Beliau berkata demikian ekoran kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) menyediakan peruntukan untuk membentuk kabinet bayangan.
“Ini bukan kabinet bayangan, ini ialah satu jawatankuasa, jurucakap untuk kementerian (dari pihak pembangkang).
“Jadi, apa yang berlaku sekarang adalah jalan keluar dengan mewujudkan kabinet bayangan sendiri dan DAP juga sudah melantik jurucakap, dan PAS juga difahamkan ada lantik jurucakap untuk kementerian-kementerian ini sebab kita tidak ada penambahbaikan parlimen.
“Sepatutnya kerajaan BN menyediakan prasarana dan infratsruktur bagi mengadakan kabinet bayangan ini,” katanya ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, bagi Ahli Parlimen (PAS) Shah Alam, Khalid Samad, PAS juga menurut beliau sudah mengenal pasti barisan ahli parlimen yang akan duduk di dalam kabinet bayangan parti itu.
Katanya, tiada masalah sekiranya DAP sudah menubuhkan kabinet bayangan mereka sendiri memandangkan pihak mereka juga turut melakukan perkara yang sama.
Malah beliau juga berkata bahawa pandangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkenaan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah pendapat peribadi pimpinan DAP itu.