Wan Azizah Wan Ismail  
Calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di pusat mengundi Sk Keb Seri Penanti kira-kira jam 8.28 pagi tadi. 
 
PERMATANG PAUH - Calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tersentuh apabila diajukan tentang ketidakhadiran suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundi pada PRK Permatang Pauh, hari ini.

Walaupun beliau mengakui agak sedih tanpa ditemani suaminya untuk membuang undi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Kubang Semang, namun Presiden PKR itu menegaskan perjuangan perlu diteruskan.

"Sedihlah, kalau tidak pilihan raya ini tidak berlaku, hidup mesti diteruskan dan kena lawan. Kita terima semua ini sebagai satu ujian‎.

"Tuhan hendak tengok kita, bagaimana kita sanggup menerima cabaran itu dan berdepan dengannya," katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Kubang Semang di sini, hari ini.

Terdahulu Dr Wan Azizah yang juga Adun Kajang mula memasuki pusat mengundi itu kira-kira jam 8.28 pagi dan beliau kelihatan membuang kertas undi tepat jam 8.40 pagi tadi.