PKR kesan BN bawa pengundi hantu PERMATANG PAUH - Kurang 24 jam sebelum pembuangan undi PRK Parlimen Permatang Pauh esok, pemimpin PKR mengesan kehadiran undi hantu yang didaftarkan di sebuah apartmen di Bandar Perda, di sini.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli mendakwa pengundi hantu itu dikesan selepas menemui dua slip pengundi yang diedarkan petugas BN dari rumah ke rumah, semalam.

Beliau mendakwa ditemui pemilik rumah awal pagi tadi yang mengadu kediamannya disalahgunakan individu tidak dikenali sebagai daftar pemilih tanpa pengetahuan dan kebenaran pemiliknya.

"Menurut pemilik rumah itu, dia tidak pernah menyewakan rumah tersebut yang siap sejak 14 tahun lalu.

"Kita mengesan pengundi hantu itu berdasarkan butiran dalam slip itu seperti nama pengundi, alamat rumah, saluran dan tempat mengundi.

"Dua slip itu hasil laporan pemilik rumah itu yang mengadu tidak mengenali kedua-dua pengundi yang menggunakan alamatnya," katanya pada sidang media di Pusat Media PKR, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata hasil siasatannya mendapati individu bernama Sakinah Ahmed tersebut pada PRU12 mengundi di Parlimen Jelutong.

Bagaimanapun pada PRU ke-13 lalu, daftar pemilih Sakinah telah berpindah ke Parlimen Permatang Pauh.