GST bebankan rakyat Z
PARIT BUNTAR - Kehadiran orang ramai dalam Wacana Semasa Isu GST anjuran Dewan Pemuda Pas Parit Buntar di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin, di sini adalah isyarat rakyat di Parit Buntar tidak bersetuju dengan perlaksanaan GST yang membebankan mereka terutama yang berpendapatan rendah.

Ketua Penerangan Pas kawasan Parit Buntar, Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, sepatutnya pemimpin kerajaan mendengar bantahan rakyat kerana mereka yang menerima kesan akibat cukai  tersebut.

“Mereka yang hadir bukan sahaja mahu mendengar ceramah daripada pemimpin PR, tetapi sebagai sokongan terhadap penentangan GST.

“Rakyat biasa sebagai buruh, petani dan nelayan paling terkesan sekali gus terpaksa menanggung beban dengan cukai baharu ini,” katanya semasa ditemui selepas ceramah berkenaan.

Fakhrurrazi berkata, tidak menjadi masalah jika kerajaan ingin memperkenalkan sesuatu polisi atau dasar baharu asalkan ia dijelaskan dengan jujur dan ikhlas.