raja bomoh 
 Ibrahim ketika di KLIA melakukan ritual pencarian MH370 yang hilang.

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) akan mengambil tindakan terhadap Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin setelah pewartaan haram berkaitan amalan songsangnya dibuat Jabatan Mufti Perak.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, perkara itu ditegaskan berikutan pewartaan tersebut tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Mufti Perak.

“Jawatankuasa Fatwa Negeri yang bermesyuarat kelmarin telah memutuskan bahawa ajaran bomoh terbabit haram dan terpesong daripada ajaran Islam.

 “Di pihak Jaipk, kami hanya tunggu pewartaan tersebut dibuat sebelum sebarang tindakan boleh dikenakan terhadap beliau,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut beliau, setakat ini hanya Ibrahim sahaja yang dikesan mengamal dan menyebarkan ajaran songsang di Perak.

Kelmarin, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dalam mesyuaratnya dilaporkan telah memutuskan bakal mewartakan amalan yang dibawa Ibrahim sebagai sesat dan haram.