PRK Permatang Pauh BN-PKR saja dominasi
ATAS kertas undi ada nama empat calon yang menawarkan diri dalam PRK Permatang Pauh tetapi saingan sengit dilihat lebih kepada BN-PKR.

PKR menampilkan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail - nama yang sudah dikenali dalam persada politik tanah air dengan menerajui parti itu sejak ditubuhkan pada 1999.

Sebut sahaja Kak Wan, semua orang kenal dan tahu siapa dirinya. Mewakili Permatang Pauh hampir tiga penggal di parlimen dan turut menggalas tugas ketua pembangkang sebelum ini.

Setiausaha Umno Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin pula menjadi taruhan BN dalam saingan kali ini sebagai memenuhi cita rasa anak muda yang memerlukan lebih banyak suara mereka didengari oleh kerajaan.

Anak tempatan dari Guar Jering ini memikul amanah besar jika terpilih sebagai YB kelak kerana diberi tanggungjawab untuk membangunkan semula kawasan itu dengan pelbagai kemudahan infrastruktur dan projek pembangunan.

Calon Bebas, Salleh Isahak, anak tempatan dan lebih memberi fokus kepada aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan ke arah melahirkan insan yang berilmu, berakhlak dan beriman.

Tetapi belum menggerakkan jentera pilihan raya dan akan bermula 1 Mei ini kerana masih merangka strategi dan bentuk kempen yang sesuai untuk pengundi.

Calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman juga anak tempatan tetapi masih belum tampil di hadapan orang ramai atau turun padang berkempen.