
Jentera Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini, akan terus menumpukan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR Datuk Saifuddin Nasution.
Beliau berkata keputusan itu diambil berdasarkan maklum balas dari 28 Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) PKR masyarakat Permatang Pauh lebih mengutamakan isu sistem pencukaian itu berbanding isu lain.
"Penerangan jentera kita tentang isu GST dan kesengsaraan akibat GST ini adalah isu yang paling teratas sekali menerima penerimaan dan sambutan yang baik daripada rakyat.
"Contoh, dengan gerakkan jentera kami dari rumah ke rumah, pasar, tempat-tempat berhimpun penduduk, dengan menyebarkan risalah seperti ini, kami dapati petunjuk yang sangat terang dan jelas bagaimana rakyat begitu resah sekali akibat pelaksanaan GST," katanya pada sidang media harian PRK Permatang Pauh, di Bangunan Yayasan Aman, di Bukit Mertajam, hari ini. Turut hadir pada sidang media itu ialah naib presiden PKR yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin dan Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh.
Sementara itu, Izzah memohon Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara agar memberi kelonggaran kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengundi pada PRK tersebut.
Beliau berkata ini sejajar dengan saranan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Julai 2013, kementerian sedang mengkaji mekanisme yang sesuai membolehkan banduan mengundi pada pilihan raya akan datang.