PRK Rompin 
ROMPIN - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas pada 5 Mei depan.

Proses penamaan calon yang bermula jam 9 pagi ini di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini ditutup tepat jam 10 pagi tadi.

Kelibat calon Bebas,  Mohd Shukri Mohd Ramli yang tiba beberapa minit sebelum proses penamaan calon ditutup bagaimanapun gagal menyerahkan borang pencalonan kerana tidak membawa pencadang dan penyokong.

Mohd Shukri atau Cucu Mat Kilau (CMK) dan dipercayai bertanding atas tiket Bebas, tiba pusat penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah kira-kira jam 9.45 pagi.

Calon Pas, Nazri Ahmad dilihat tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.45 pagi disusuli calon BN, Datuk Hasan Arifin pada jam 9.04 pagi.

Nazri telah menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi sementara Hasan pula pada jam 9.07 pagi.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada PRU13, Dr Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.