Dr Asyraf Wajdi Dusuki  
PUTRAJAYA - Keharusan mengutip Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bukan bersifat multlak dan ia boleh berubah mengikut peredaran semasa, tempat dan keperluan negara.

Demikian kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sambil menegaskan hanya zakat sahaja bersifat mutlak kerana ia adalah hak ALLAH.

"Sampai kiamat pun orang tidak boleh kata tak perlu bayar. Zakat perlu dibayar selagi mana dia adalah orang Islam dan ia adalah hak ALLAH yang dituntut.

"Cukai berasaskan kepada maslahat atau kepentingan adalah mengikut zaman dan keadaan. Maka hukum yang berkaitan dengan hak manusia serta siasah pemerintahan, ia juga berubah mengikut zaman dan masa," katanya pada Seminar Kebangsaan GST Mengikut Perspektif Islam anjuran Jakim di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, jelasnya pelaksanaan GST juga tidak kekal dan ia akan dikaji semula apabila negara boleh menjana pendapatan selain daripada cukai termasuk hasil bumi seperti minyak dan emas.

"Kalau kita jadi seperti Brunei, perolehannya sebanyak 83 peratus daripada sumber minyak, berbanding Malaysia hanya 13 peratus sahaja, yang boleh tampung perolehan negara untuk bayar enrollment gaji, pembangunan dan subsidi RM40 bilion.

"Saya rasa pada waktu itu cukai mungkin tidak diperlukan, kalau kita mempunyai sumber perolehan lain dan negara dapat bertahan, saya rasa waktu itu cukai tidak diperlukan lagi," ujarnya.