KUALA LUMPUR, 14 April

Tindakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem menyerahkan isu pembuangan 6,000 pekerja syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) kepada pengurusan syarikat berkenaan disifatkan seperti menolak tanggungjawab dan tidak mahu memainkan peranan dalam isu buruh.
Presiden Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan (NUFAM), Ismail Nasaruddin berkata, pihak kementerian seharusnya memberi perlindungan sewajarnya dan memainkan peranan bagi memastikan masa depan pekerja MAS tidak terjejas.
Menurutnya, isu pembuangan 6,000 pekerja tidak boleh dipandang sebelah mata kerana ia melibatkan masa depan pekerja khususnya bagi mereka yang telah lama berkhidmat dengan MAS.
“Memberi semua tanggungjawab kepada pengurusan MAS untuk menyelesaikan proses pembuangan pekerja adalah satu titik hitam isu buruh dalam negara kerana pihak kementerian harus memastikan pekerja tidak dianiaya.
“Kalau mengikut kata-kata menteri dahulu yang menyatakan pekerja MAS tidak akan terjejas dengan pengstrukturan ini, banyak berpendapat pihak Kementerian Sumber Manusia tidak memainkan peranan penting malah memberi banyak alasan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa langsung untuk menyelesaikan masalah dan isu pembuangan 6,000 pekerja.