Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri 
JERLUN: Dewan Ulama Pas tetap mencabar fatwa yang mengharuskan tindakan kerajaan dalam melaksanakan GST, selain menyifatkan hukum pelaksanaannya sebagai haram.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, selagi sistem GST tidak membezakan antara golongan kaya dan miskin, selagi itu ia bercanggah dengan Islam.

“Pelaksanaan GST tidak menepati syarat pengharusan cukai dalam Islam. Saya harap Majlis Fatwa Kebangsaan tarik balik fatwa terbabit dan saya bersedia dipanggil oleh jawatankuasa fatwa bagi menyatakan pandangan syarak secara harmoni,” katanya, selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-54 Pas kawasan Jerlun, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, beliau sanggup berdepan tindakan demi mempertahankan pendiriannya mahu fatwa berkenaan dikaji semula kerana yakin GST tidak menepati syarat pengharusan cukai dalam Islam.

“Islam hanya membenarkan cukai untuk menampung keperluan negara, jika berlaku keperluan mendesak bukan akibat ketirisan atau boros berbelanja dan hanya untuk golongan berkemampuan,” katanya.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bersidang pada Oktober 2014 membuat keputusan, mengharuskan pemerintah mengutip GST selagi terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat, pelaksanaannya hendaklah berpandukan parameter syarak, antaranya ketika kerajaan memerlukan sumber kewangan, bebanan cukai dikutip secara adil dan dibelanjakan untuk maslahah ummah.

Pemegang doktor falsafah dalam bidang pengajian Islam itu turut mengakui GST adalah sistem percukaian terbaik dalam kutipan cukai, namun tidak menepati syarak apabila dikenakan terhadap semua golongan.