oleh Ng Kee Seng
Pada Januari lalu, kolum ini menampilkan artikel bertajuk “Dilimpahi minyak, mengapa Malaysia menanggung hutang besar?”
Sedikit mengejutkan apabila artikel itu mendapat sambutan hebat para pembaca. Persoalan yang dibawa masih lagi relevan. Dan, adakah ada perubahan yang lebih baik pada negara pada hari ini?
Pada 30 Mac, seorang bernama “zed” meletakkan pautan laman washingtontimes.com, diiringi komen “bias yang melampau” (beliau merujuk artikel itu).
Begini zed, laporan washingtontimes.com yang bertajuk “VITENBERG: Norway’s shame: How a nation squandered its oil riches” adalah tentang apa yang disebut tajuknya. Bagaimana kerajaan Norway didakwa melesapkan kekayaannya tidak menarik minat penulis. Namun sekurang-kurangnya warga Norway kekal kaya, secara teorinya menjadi jutawan pada 8 Januri lalu ekoran memiliki dana kekayaan terbesar di dunia.
Tetapi zed, bukankah itu cerita tentang Norway? Bagaimana pula cerita tentang Malaysia itu bersifat bias?
Lebih setahun kemudian, hutang persekutuan rasmi Malaysia, setakat Oktober lalu adalah RM568.9 bilion, dan 97.1 peratus daripadanya – RM552.7 bilion – adalah daripada pinjaman domestik, manakala 2.9 peratus lagi –RM16.2 bilion – adalah hutang luar negeri.

Kesemua itu tidak termasuk hutang RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berbilion lagi hutang kerajaan yang telah dan sedang didedahkan.
Selain itu pada 2012, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika, Datuk Mukhriz Mahathir memaklumkan bahawa hutang persekutuan negara adalah RM800 bilion.
Adakah Malaysia sedang menuju hutang trillion ringgit?
“zed”, di Norway, setiap bayi yang baru dilahir secara teorinya sudah menjadi jutawan. Manakala di Malaysia, setiap bayi yang lahir menanggung hutang.
Norway menemui minyak di Laut Utara pada 1969, 46 tahun dahulu. Tetapi ia mewujudkan dana kekayaan minyaknya pada 1990. Ini bermakna warga Norway hanya memerlukan 23 tahun untuk menjadi jutawan.
Apa yang rakyat Malaysia ada? 1MDB yang merupakan milik Kementerian Kewangan sudah tiga kali gagal menjelaskan hutang RM2 bilionnya dengan bank tempatan mengikut masa yang ditetapkan. 1MDB terpaksa meminjam dengan seorang “taikun” untuk menjelaskannya.
Sama ada lawak atau serius, adakah ia masuk akal? Kita tidak perlu menjadi sepintar saintis roket untuk mendapati kerajaan persekutuan sedang menghadapi masalah “aliran tunai”.