Rafizi 
SHAH ALAM - Selepas dibebaskan dengan ikat jamin berhubung perhimpunan #KitaLawan semalam, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, beliau tidak akan berhenti daripada terus membuat pendedahan termasuk dalam isu jet peribadi. 
 
Menerusi catatan terbaru di laman mikro Twitternya, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, keadaannya baik dan akan meneruskan 'perjuangannya'.
 
"Terima kasih semua yang prihatin saya di lokap. Saya enjoy (seronok) je, happy (gembira) lagi kongsi lokap dengan @tukartiub. Akan sambung dengan @NajibRazak dedah jet esok (hari ini)," tulisnya lagi. 
 
Selain Rafizi, Setiausaha Pengelola PKR, Fariz Musa dan aktivis, Hishamuddin Rais yang sebelum ini ditahan berhubung himpunan #KitaLawan turut dibebaskan dengan ikat jamin, semalam.
 
Rafizi dan Hishamuddin ditahan pada Jumaat lalu, manakala Fariz ditahan pada malam Sabtu bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan tersebut yang diadakan pada Sabtu. 
 
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, penahanan Rafizi pada Jumaat bagi membantu siasatan berhubung tindakannya mengeluarkan surat mengarahkan penyokong parti itu untuk mengadakan himpunan haram #KitaLawan pada Sabtu lalu.