oleh Mike Tan
“Ini adalah tapak yang terbaik seperti yang ditentukan oleh kajian yang dilakukan oleh Felda," – ini merupakan jawapan yang diberikan apabila saya bertanya tentang bagaimana Felda menentukan lokasi ladang sturgeon bernilai RM120 juta di Kuala Tahan, yang dicadangkan pada sidang akhbar pada Oktober tahun lalu. Sidang akhbar itu dijalankan oleh Felda selepas sesi dialog Ahli Parlimen Jerantut, Nazlan Idris di Kuala Tahan dengan penduduk kampung dan pihak-pihak lain, tentang projek sturgeon kontroversi itu, pada bulan September. Felda tidak hadir pada sesi itu, sebaliknya memilih untuk mengadakan sidang akhbar mengenai perkara itu di Kuala Lumpur.
Di tengah-tengah kontroversi itu adalah lokasi ladang sturgeon itu, kawasan di tebing Sungai Tebeling, hanya di luar sedikit di sempadan Taman Negara, destinasi utama pelancongan-eko Malaysia dan taman negara yang tertua. Jadi kawasan itu dianggap kawasan alam sekitar sensitif, sesuatu yang entah bagaimana tidak pernah dipertimbangkan pencadang projek itu. Banyak perkara yang telah berlaku sejak sidang akhbar itu. Menjelang akhir tahun ini, Malaysia telah bergelut dengan musim banjir terburuk yang pernah berlaku.
Pada bulan Oktober, Cameron Highlands – yang dikatakan salah sebuah kawasan yang paling tinggi di negara ini – telah dilanda banjir. Agak menakjubkan bagi sebuah kawasan yang mempunyai ketinggian lebih daripada 1,000 meter di atas paras, laut untuk mengalami banjir. Kemudian pada 24 Disember, Kuala Tahan mengalami banjir terburuk yang pernah dicatatkan, dengan paras air mencecah rekod 77.7 meter, mengatasi rekod sebelum ini setinggi 74 meter yang berlaku pada 4 Januari 1971.
Selepas hujan lebat yang tidak berhenti, tebing Sungai Pahang pecah dan ia membanjiri Kuala Tahan dan kawasan-kawasan sekitarnya – termasuk tapak cadangan projek Sturgeon itu. Semua perkhidmatan – elektrik, air, telekomunikasi – di seluruh kawasan itu terganggu. Kuala Tahan telah terputus hubungan sama sekali, disebabkan oleh banjir itu. Walaupun paras air mula surut dalam hari-hari berikutnya, akses ke Kuala Tahan terputus oleh banjir di Paya Garok dan jalan-jalan berdekatan yang rosak. Untuk memburukkan keadaan, sebahagian daripada jalan ditutup oleh tanah runtuh.
Walaupun dengan usaha yang terbaik, akses jalan raya hanya pulih dua minggu kemudiannya. Masa sekurang-kurangnya satu atau dua minggu diperlukan sebelum telekomunikasi mudah alih, bersama-sama dengan elektrik, dapat dipulihkan. Perkhidmatan bekalan air paip paling teruk terjejas, dan kawasan itu hanya mendapat bekalan air paip semula sebulan selepas itu.