KUALA LUMPUR, 11 Mac:
Datuk Dr Haron Din telah dipilih sebagai Mursyidul Am PAS bagi menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah meninggal dunia bulan lalu.
Pelantikan itu dibuat hasil mesyuarat Majlis Syura yang sebulat suara untuk melantik Haron.
Perkara itu disahkan oleh Datuk Takiyuddin Hassan yang mana keputusan itu dicapai melalui satu mesyuarat yang diadakan pada 8 Mac lalu di Ibu Pejabat PAS.
“Mursyidul Am sudah dipilih, Datuk Haron Din. Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dipilih memegang jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS yang baru.
“Perlembagaan PAS menyatakan jawatan Mursyidul Am boleh dipilih oleh 15 anggota Majlis Syura Ulama (MSU) untuk tempoh lima tahun,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.
Menurut Takiyuddin, jawatan Mursyidul Am itu merupakan jawatan lantikan yang tidak memerlukan proses pemilihan dalam Muktamar PAS.