SHAH ALAM – Tiga minggu sudah berlalu dari saat ALLAH menjemput pemimpin yang disayangi ramai, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pemergiannya dikatakan meninggal kesan mendalam terhadap setiap insan yang mengenali bekas Mursyidul Am Pas itu, termasuklah anak saudaranya yang juga penceramah tersohor, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Ibu Ustaz Ahmad Dusuki merupakan adik perempuan kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz.

“Dia (Allahyarham) terlalu rapat dengan adik perempuannya ini (bonda saya). Dia kerap datang dan bertamu ke perkampungan Batu Balai di Jerantut, Pahang untuk bertemu dengan bonda.

“Kadang-kadang Allahyarham muncul di rumah jam dua pagi. Dan saya hanya mendapat tahu kedatangannya itu saat berjumpanya di surau kampung saya; pada solat subuh,” katanya seperti yang dipetik di laman sosial Facebook.

Menerusi tulisannya, Ustaz Ahmad Dusuki turut menggambarkan Allahyarham sebagai seorang yang khusyuk dalam melaksanakan ibadahnya dan sering dijadikan rujukan bagi orang lain dalam perihal agama.

“Menjelang solat Subuh di surau kampung, saya lihat ia berdiri tegap mengadap kiblat, qiamnya lama, selesai mengimami solat subuh pasti sahaja kuliah subuhnya panjang dengan pertanyaan masyarakat kampung yang bertanya tentang agama kepadanya.

“Saya pula mengambil kesempatan bertanya beliau "ayah zik ada ceramah di Pahang ni ke?" beliau akan tersenyum menjawab berbisik, "lari dari keriuhan bandar." Saya memahaminya, maksudnya dia lari dari kesibukan pertanyaan wartawan yang sering mengejarnya untuk mendapat berita atau masalah yang menganggu kehidupannya, berada di desa perkampungan mendamaikannya.. Dia anak kampung!," tulisnya lagi.