KUALA LUMPUR, 1 Mac:
Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengingatkan bahawa dalam demokrasi, rakyat mesti diberi hak memilih.
Menurutnya, apabila hak itu digunakan, maka ia adalah kemuncak keadilan kerana tiada lagi yang lebih atas selain kuasa dan hukum rakyat.
“Dalam Islam, rakyat mesti diberi hak memilih. Apabila hak itu digunakan, maka rakyat dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka pilih. Jika menepati syarak, maka ia adalah keredaan-Nya. Jika sebaliknya, ia adalah kesalahan syarak yang mesti diperbetulkan. Rakyat bukan teratas. Teratas adalah syarak.
“Justeru dalam sistem pemerintahan Islam, hak rakyat memilih mestilah dipandu oleh ilmuan syarak atau para ulama yang akan terus memastikan binaan amar makruf nahi munkar, nasihat, peringatan ugama dan dakwah berkembang dalam masyarakat,” katanya dalam entri terbaru di laman Facebook miliknya.
Katanya, kewujudan sebuah entiti yang membimbing masyarakat mestilah diadakan oleh rakyat dan diterima pakai oleh rakyat itu demi ketepatan mereka memilih dan membuat keputusan berdasarkan syarak.