MSO
Dewan Ulamak Pas telah mengadakan Multaqa Ulamak Malaysia II,
semacam persidanganlah, sehari suntuk di Serdang Selangor hari ini.
Persidangan itu katanya disertai kalangan ulama dan agamawan, yang
mendominasinya dewan ulama dalam Pas.
Saya tidak mengikut keseluruhan isi serta hasil dicapai dalam Multaqa
berkenaan. Saya hanya membaca laporan dalam protal berita mengenai
ucaptama berserta beberapa resolusi dan butiran perbincangan
(perbahasan) di sekitar Multaqa tersebut. Boleh tahan juga lidah para
ulama apabila bersuara, ia persis seperti "lawi ayam" berkarat.
Yang jelasnya Multaqa itu bukan membincangkan atau membuat ijtihad
mengenai hukum hakam (syariah) yang kabur sebelum ini dan masih
"berjibuh" dalam pemikiran ummah, atau pun mencari solusi bagi
menyelesaikan berbagai masalah ummah yang kian bercelaru dan hiru biru
muasir ini disebabkan disodor pelbagai isme dan pemikiran.
Isu-isu berkaitan ekonomi, politik, pendidikan,
budaya, bangsa dan sebagainya yang boleh melemahkan agama masih banyak
bergeliwat di sekeliling kita, tetapi sayang ia tidak menjadi tumpuan
atau dimasukan dalam rangka perbahasan dalam Multaqa berkenaan.
Sebaliknya Multaqa itu lebih kepada forum satu pihak dalam Pas untuk
"mengetik" dan "mengekah" satu pihak lain dalam parti itu. Sedar atau
tidak berlaku penyalahgunaan ruang dan forum di sini, dan juga perogolan
terhadap istilah-istilah Arab yang kelihatan berunsurkan agama, tetapi
dibelangi dengan elemen politik jalang. Justeru jadilah Multaqa itu
sebuah halaqah kosong yang merugikan masa dan ia sebuah muzakarah
sempit.
Lebih malanglah majlis itu satu himpunan untuk memadukan suara yang
retak agar Presiden parti itu dihormati sampai ke langit. Saranan
pengagungan (kultus) kepada sesama manusia atau semacam memuja busut
jantan telah dilakukan dalam Multaqa itu. Ada acara hendak
mengkeramatkan busut jantan dalam Pas ke belakangan ini.
Betapa tidak Multaqa itu membuat ketetapan supaya Pas mengambil tindakan
kepada mana-mana ahli dan pemimpinnya yang terlibat dengan Persatuan
Ummah Sejahtra Malaysia (PasMa). Cadangan ini dibuat oleh Pemangku Ketua
Dewan Ulamak, Ahmad Yaakob yang juga MB Kelantan.
Tidak cukup itu, beliau juga mencadangkan agar ketetapan diambil
terhadap pelanggaran ketetapan MSU dan keputusan-keputusan dibuat
Presiden secara peribadi sebagai kesalahan mandatori mengikut
perlembagaan Pas. Pas juga nampaknya hendak wujudkan
Akta Hasutan
dalam parti agama itu. Kedua-dua cadangan Ahmad itu yang disarankan
dalam ucaptamanya kemudian menjadi resolusi kepada Multaqa berkenaan dan
diterima sebulat suara.
Apabila dicadangkan ahli Pas yang mengkritik presiden dipecat, memberi
gambaran seolah-olah dosa besar kepada mereka yang mengkritik presiden.
Dalam kepala Ahmad Yaakub presiden tidak boleh dikritik dan secara tidak
langsung beliau meletakkan presiden sebagai "lembu suci" dan tiada
terkhilaf dalam aktiviti politiknya. Atau pun Ahmad sudah begitu
"semabul" melihat segala tindakan Abdul Hadi itu sebagai satu sunnah
yang perlu diikuti tanpa ada batas kerana ia dijelmakan menerusi wahyu?
Tidak sangka peluang Ahmad memangku Ketua Dewan Ulamak telah memberi
kesempatan kepadanya untuk menaikkan darjat dan martabat seorang
presiden sebuah parti politik setiggi itu. Apakah Abdul Hadi sudah
memberi jasa besar buatnya dan tindakan beliau itu sebagai membalas
jasa? Ini kena disiasat sebab sebelum ini ada terdengar
maklumat-maklumat berbau demikian, bahawa penggantian Nik Aziz sebagai
MB dibuat secara persekongkolan.