KUALA LUMPUR, 18 Februari :
Ahli keluarga bekas menteri besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini merayu orang ramai yang terambil atau tersimpan barang-barang yang diguna semasa majlis pengkebumian beliau Jumaat lalu agar memulangkan barang-barang berkenaan.
Barang-barang tersebut berupa selimut putih, kain hitam penutup keranda, toto (tilam nipis) merah kuning dan bantal, kata anak perempuan Allahyarham, Nik Asma’ Salsabila Nik Aziz melalui akaun Facebook beliau dan dilaporkan portal berita rasmi PAS, Harakahdaily, Rabu.
Jenazah Nik Aziz ketika diusung menuju ke tanah perkuburan untuk disemadikan Jumaat lalu. - Foto Harakahdaily
Jenazah Nik Aziz ketika diusung menuju ke tanah perkuburan untuk disemadikan Jumaat lalu.
“Kami semua setuju ianya adalah bahagian bonda kami, orang yang paling dicintai ayahanda selepas kedua ibu bapanya.
“Setiap masa bonda bertanya jika barang-barang tersebut sudah dijumpai.
“Sekiranya ada yang ambil untuk kenangan atau mahu berkat Tok Guru, ketahuilah bahawa tidak ada keberkatan pada barang yang diambil tanpa keizinan tuan empunya. Mohon dipulangkan,” kata anak Allahyarham Nik Aziz itu dalam posting Facebook beliau.