Jumaat, 13 Februari 2015

Wardina tegur TV3 tak sensitif tayang Mentor Legend semasa Nik Aziz dikebumi

Post Pic
SHAH ALAM: Pelakon dan pengacara muslimah terkenal, Wardina Safiyyah menegur stesen TV3 yang dikatakan tidak sensitif dengan kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
Ketika saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro Awani gigih melaporkan laporan langsung mengenai pengkebumian bekas Menteri Besar Kelantan itu, TV3 memilih untuk menyiarkan rancangan hiburan terbitannya, Mentor Legend.
 
"Sewaktu hayatnya tidak pernah diundang untuk bual bicara bagi memahami jiwa dan pemikirannya...malah kadang kala difitnah dinista...sewaktu perginya tunjukkanlah "sedikit" hiba. Bukan calang-calang manusia," ujar Wardina melalui laman Facebooknya.
 
Beliau juga bertindak berkongsi surat terbuka kepada TV3 oleh pelayar internet berjudul' Teguran untuk TV3 berkabunglah hormat perasaan rakyat Malaysia'.
 
Surat terbuka itu kini menjadi viral di media sosial.
 

Politik baru tanpa perkauman

Oleh Abd Shukur Harun
DALAM kalangan para intelektual dan dunia politik tanah air, Dr Mujahid Yusof Rawa ialah antara nama penting yang sering berinteraksi dengan pelbagai wacana dan idea dalam pelbagai wacana, bukan saja di peringkat nasional bahkan antarabangsa.
Pemikirannya bernas, berasaskan pendekatan Islam, tetapi sangat mengambil kira realiti masa kini, justeru beliau benar-benar mengasai fiqhulwaqi’.

Beliau telah menulis 10 buah buku yang membicarakan topic serius mengenai agama, politik dan kemanusiaan. Hujahnya berdasarkan ilmu yang pukal, rasional yang berasaskan al-Quran dan Sunnah.
Kerana itu, saya kira, beliau menjadi asset penting dalam PAS dikeranakan menjadi salah seorang ideolog parti. Beliau menentang perkauman dan fahaman agama yang sempit, mempertahankan demokrasi dengan hujah ilmu yang sangat mengesankan. Pembacaan dan pendedahannya begitu luas.
Buku baru Dr Mujahid – Malaysia Pasca Rasisme: Wajah Baru Politik Malaysia 11 – memuatkan beberapa pandangan kritis mengenai wajah demokrasi di Malaysia. Iaitu siri tulisannya kebelakangan ini.
Selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS yang sangat efektif, beliau mengemukakan idea yang segar ke arah memantapkan parti politik Islam yang didokongnya agar menjadi pilihan semua kaum bukan saja orang Islam yang sinonimnya (dalam konteks Malaysia) Melayu.
Maudu’ penting yang dibincangkan dalam buku ini ialah peri penting kebersamaan semua kaum dalam menjayakan agenda pembangunan negara.
Beliau melihat demokrasi bukan sekedar kumpulan parti berasaskan bangsa semata-mata, tetapi lebih luas dari itu yang menyentuh aspek keadilan dan kemanusiaan.
Menurutnya, dalam wajah politik yang dinamik dalam kerangka demokrasi, maka proses artikulasi amat penting digalakkan.

Ketiadaan Nik Aziz, Anwar tak jejaskan kekuatan Pakatan, kata Nik Nazmi

Kehilangan dua pemimpin utama, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjejaskan kekuatan Pakatan Rakyat (PR), kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ketua Pemuda PKR itu berkata, walaupun kehilangan itu merupakan cabaran besar, tetapi PR masih mempunyai ramai pemimpin pelapis muda yang boleh membawa gabungan tiga parti itu jauh ke hadapan. "Saya tak melihat ini satu masalah besar. Kita banyak pemimpin pelapis yang dah lama bekerja dalam parti dan kerajaan bersama-sama.

"Jadi saya tak melihat ada kesan negatif kepada Pakatan," katanya pada sidang media selepas pelancaran sambutan 20 tahun Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) di Bangi, hari ini. Exco Selangor itu berkata, Anwar sehingga kini masih diiktiraf sebagai Ketua Umum PKR dan tiada perbincangan untuk menggantikannya dengan pemimpin lain.

 "Semalam Menteri Besar ada umumkan Anwar masih penasihat ekonomi (Selangor), jadi (jawatan) Ketua Umum pun tak berubah kalau ikut logik yang sama," katanya.

Nik Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan meninggal dunia pada umur 84 pada jam 9.45 malam tadi di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Baru, Kelantan selepas sekian lama mengidap barah prostat. Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali pada kelmarin mengesahkan khidmat Anwar sebagai Penasihat Ekonomi negeri masih diperlukan walaupun sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Sungai Buloh.
"Mengapa tidak? Beliau boleh sampaikan mesej melalui peguam atau keluarga," katanya.

Rapatkan kembali saf, fokus musuh yang satu

Oleh ROY RASUL
LEGA.. Itu jawapan yang barangkali boleh disimpul oleh penyokong dan ahli ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat selepas mesyuarat pimpinan Pakatan, di ibu Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, 8 Februari lalu.
Dalam menterjermah keputusan penuh harmoni selepas tercapai ikatan memurnikan semula Pakatan Rakyat pencinta Pakatan Rakyat mahukan air yang keruh itu dijernih sejernih-jernihnya.

Bagi Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat ikatan yang telah terjalin semula ini diharapkan tidak akan disia-siakan serta tidak menghampakan rakyat selain hendaklah bersikap rasional ketika bertindak. Beliau cukup optimis bahawa Pakatan akan kembali  ke landasan sebenar apabila pertemuan 8 Februari lalu dapat merungkai kemelut yang selama ini hampir menggoncang putus tali persahabatan. Suhaizan yang turut menjadi ahli korum dalam mesyuarat tersebut menyatakan bahawa tidak ada sebab Pakatan Rakyat berpecah.
Beliau lantas mencongak dengan hanya kerana perbezaan pandangan sesama parti sekadar 10 peratus sedangkan bakinya sebanyak 90 peratus lagi berada dalam sifir persamaan pandangan.
“Kenapa kita hendak berpecah akibat daripada meninggal perkara yang lebih besar.Rakyat telah membuktikan 52 peratus undian pilihan raya umum dahalu milik Pakatan Rakyat jadi apa lagi hendak dihujahkan,” katanya
Berdasarkan pengalaman itu pemimpin atasan harus mengambil pendekataan untuk mengambil sikap kesepaduan.
Apa lagi pimpinan Pakatan Rakyat sudah berpuluh tahun berjuang dalam dunia politik.
Sepatutnya pengalaman mereka itu memperkuatkan lagi Pakatan Rakyat yang menjadi musuh ketat parti Umno-BN.
“Bagi saya mustahil Pakatan Rakyat boleh berderai di tengah jalan. Lawan kita Umno dan BN apa lagi BN hampir hancur malah pimpinannya sendiri bermasalah dengan pelbagai isu termasuk isu Altantunya.
“Ini peluang kita takkan dengan peluang terbentang luas di hadapan mata begitu senang hendak pecahkan pula,” katanya.
Malah secara jujur beliau menyatakan mood rakyat sangat hampa dengan perbalahan yang terjadi sebelum ini. Jawapannya, pencinta Pakatan Rakyat mengidamkan Pakatan Rakyat berada di tampuk pemerintah negara.

Mampukah Pakatan Rakyat kekal survival

Oleh MOHD ARIF JUHANI
Perlu terus terima konsep ‘setuju untuk tidak setuju’
PERANG mulut antara pimpinan dalam Pakatan Rakyat sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu menyebabkan rakyat sedikit ‘kurang selesa’ dengan situasi tersebut memandangkan gabungan itu sebelum ini dilihat sebagai pengganti terbaik untuk menerajui kerajaan selepas Umno-BN menjadi ‘penjajah’ kepada rakyat.
Perang terbuka yang disiarkan media-media arus perdana dan disemarakkan lagi dengan perbalahan berikutan pendekatan tertentu membuatkan masyarakat hilang punca, di pihak mana harus mereka letakkan keyakinan atau harapan untuk membawa isu-isu rakyat.
Namun, di sebalik ribut yang melanda Pakatan Rakyat dan PAS sehingga menjejaskan kepercayaan ahli parti dan penyokong, Mohamad Sabu tetap yakin gabungan parti politik akan kembali utuh. Timbalan Presiden PAS yang sentiasa optimis dengan pergolakan dalaman parti itu menjelaskan, adalah lebih baik konflik itu terdedah kepada umum supaya langkah penyelesaian boleh diambil segera.
Bagi Mohamad Sabu, setiap organisasi termasuk gerakan Islam pasti bertembung dengan kemelut yang bertujuan mematangkan cara fikir dan tindak pemimpin untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dari luar.
“Saya yakin selepas 8 Februari lalu, Pakatan Rakyat kekal utuh   selagi kita berpegang kepada persepakatan yang dibentuk bersama dalam menghadapi kebejatan Umno-BN,” ujarnya
Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, Pakatan Rakyat mula menghadapi kemerosotan pengaruh dalam kalangan rakyat ekoran perselisihan dalaman berhubung beberapa isu khususnya Langkah Kajang yang bertujuan menukar Menteri Besar Selangor yang disandang oleh Adun Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
PAS yang tidak bersetuju dengan langkah politik itu dengan pantas menjadi perhatian media kerana kedudukannya yang cukup signifikan dalam menentukan masa depan Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.
Walaupun isu tersebut sedikit reda apabila Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden KeADILan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, bagaimanapun, kesan buruknya lebih banyak berlegar dalam PAS.
PAS dalam keadaan itu secara kaburnya berpecah kepada dua antara kumpulan penyokong keputusan Presiden PAS dan Majlis Syura Ulama (MSU); dan kelompok yang dilihat bertentangan dengan dua entiti penting parti itu
Simbolik bantahan ke atas Timbalan?

Dengan tiadanya Anwar, demokrasi dan hak asasi mundur ke belakang

Oleh Gobind Rudra
Malaysia sekali lagi dijejaskan oleh Barisan Nasional, apabila Mahkamah Persekutuan 10 Februari lalu mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kesalahan liwat dengan bekas pembantunya. Seperti ingin menguatkan tanggapan itu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan mempertahankan kebebasan sistem kehakiman negara. Jelas sekali disediakan lebih awal, waktu ia diedarkan hanya akan terus menghakis keyakinan sistem yang ia ingin pertahankan.

Selepas keputusan itu, hakim-hakim keluar ketika Anwar menyampaikan ucapan di kandang orang salah, menyerang dan menuduh mereka “tunduk kepada tuan-tuan politik” seperti yang dilakukannya ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi. Ucapan panjang itu sebagai ganti kepada pembelaan terhadap dakwaan yang dikenakan.
Ucapan dari kandang orang salah itu adalah sebuah teater politik yang nyata tetapi bersifat murahan. Anwar sekali lagi cuba menempatkan dirinya di tempat yang sama dengan wira hak asasi seperti Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela, dua tokoh hebat gerakan kebebasan yang pernah menyampaikan ucapan bersemangat daripada kandang orang salah terhadap sistem penjajahan yang menekan.
Ia adalah susulan daripada satu lagi peniruan apabila beliau dipenjara untuk kali pertama atas kesalahan salah guna kuasa ketika lewat 1990-an. Beliau menulis surat yang kemudiannya “diseludup” keluar daripada penjara Sungai Buluh, sama seperti surat Martin Luther King daripada penjara Birmingham.
Namun tanpa gimik-gimik murahan ini, Anwar sudah pun cukup menderita akibat penganiayaan daripada Umno yang menekan, berlawan untuk menjaga hak mereka untuk terus mengaut kekayaan negara. Di sini, ada satu perbezaan penting antara beliau dengan Gandhi, Mandela dan Aung Sang Suu Kyi (yang juga dibandingkan dengan Anwar oleh para penyokongnya, dalam usaha berterusan mengangkat Anwar ke tahap yang tinggi).
Gandhi, Mandela dan Suu Kyi mengetuai gerakan kebebasan popular di luar sistem, cuba membebaskan rakyat mereka daripada cengkaman penindasan.
Anwar pula adalah “orang luar” yang menjadi “orang dalam”, yang kemudiannya memanipulasikan sistem korup yang sama melibatkan kaum, agama dan ringgit. Cubaan beliau untuk mengawal media massa sama teruknya seperti yang lain. Beliau jatuh bukan kerana cuba membebaskan rakyat Malaysia daripada cengkaman elit Umno, tetapi hanya kerana ingin menggantikannya.

Anwar di penjara, laluan mudah serangan terhadap Najib, tulis Edge Review

Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan pertuduhan liwat dan hukuman lima tahun penjara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim "perjudian besar " yang boleh menjadi “senjata makan tuan” kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, lapor The Edge Review dalam edisi terbarunya.
Dengan terkeluarnya pemimpin pembangkang itu daripada laluan, pengkritik Najib dari dalam parti pemerintah beliau berkemungkinan menghalakan serangan kepadanya dan ia akan menjadi lebih dahsyat,  kata majalah mingguan digital itu.
Kritikan terhadap Najib nampaknya "semakin hangat", ia berkata, walaupun pada hakikatnya penyokong perdana menteri percaya memenjarakan Anwar akan memperkukuhkan kedudukan Najib dalam Umno, dengan menggambarkan beliau sebagai "pemimpin yang tegas".

Dalam artikel "The Najib Dilemma”, The Edge Review berkata penyokong perdana menteri percaya pemenjaraan Anwar boleh membawa kepada kemusnahan gabungan pembangkang, Pakatan Rakyat (PR), di samping meningkatkan prestij Najib dalam Umno. Mereka bersependapat dalam hal ini berasa PR sudah berada dalam keadaan lemah berikutan pergaduhan terbuka antara PAS dan dua rakan kongsinya, PKR dan DAP, berhubung isu kaum dan agama. Penahanan Anwar akan menjadi pencetus kepada perpecahan pakatan pembangkang.
Tetapi The Edge Review berkata penahanan ketua umum PKR itu boleh memberi Najib "masalah baru" dalam bentuk serangan lebih ganas terhadapnya daripada pengkritik di dalam Umno.
"Najib, yang sedang bergelut dengan prestasi terburuk sejak memegang tampuk kuasa pada bulan April 2009, mungkin memberikan kelebihan tidak disengajakan kepada pesaingnya, yang diketuai bekas Perdana Menteri (Tun) Dr Mahathir Mohamad, kelebihan dalam kempen secara terbuka untuk menyingkirkannya," lapornya lagi.
Memetik pendapat Ibrahim Suffian daripada Merdeka Centre, majalah digital itu berkata dengan Anwar di penjara, yang "perhatian dalam Umno kini tertumpu pada Najib", yang juga presiden parti.
Sebagaimana diketahui, Dr Mahathir memperbaharui serangannya terhadap Najib, hanya dua hari selepas keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan penyabitan dan lima tahun hukuman penjara kepada Anwar.
Dr Mahathir berkata dalam satu forum di Kuala Lumpur pada Khamis yang merujuk kepada Najib, "jika anda tidak menunjukkan prestasi yang baik dan orang mengatakan anda tidak bagus, sila letak jawatan."

Ambiga: Pakatan jangan hilang fokus

Peguam kanan Datuk S Ambiga menasihatkan pemimpin Pakatan Rakyat supaya mengenepikan masalah dalaman parti.

Sebaliknya Ambiga menegaskan supaya Pakatan memberi fokus kepada pilihan raya umum yang akan datang yang disifatkan sebagai "kritikal", apatah lagi ketiadaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Persoalannya, Anwar kini berada di penjara, bolehkah Pakatan bersatu?

"Saya rasa mereka (Pakatan) boleh kerana mereka bijak.

"Mereka cuma perlu sedikit kuasa serta berhenti dengan masalah politik dalaman.

"Jangan hilang fokus, pilihan raya umum ke-14 adalah pilihan raya yang kritikal.

"Saya fikir nanti di akhirnya apa yang kita perlukan ialah sebuah kepimpinan dari Pakatan Rakyat," katanya.

Ambiga yang juga bekas pengerusi BERSIH 2.0 menegaskan demikian dalam forum 'Masa Depan Politik Tanpa Anwar' anjuran Malaysiakini malam tadi.

Switzerland mahu bawa isu Anwar ke PBB

Pengadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi topik perbincangan Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) apabila sebuah negara Eropah bersedia membawa usul berkenaan.

Switzerland juga akan membangkitkan isu pengendalian kes mahkamah tokoh PKR ini dalam mesyuarat dua hala dengan Malaysia yang akan diadakan di negara itu penghujung tahun ini.

Kenyataan kerajaan itu, dalam bahasa Perancis, diedarkan oleh Bruno Manser Fund (BMF), sebuah NGO yang aktif memperjuangkan isu penduduk Baram di Sarawak, pagi ini.

Menurut BMF, kenyataan Switzerland juga mengingatkan Malaysia bahawa negara Eropah itu memandang berat isu-isu keluhuran undang-undang dan perbicaraan yang adil.

PKR turut mengedarkan kenyataan NGO berkenaan kepada media hari ini.

'Kami tak minta layanan VIP untuk papa' - Nurul Nuha

Perkara yang paling penting bagi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kesejahteraan beliau di penjara dan bukannya diberi layanan seperti VIP.

Anak perempuannya, Nurul Nuha, berkata keluarganya bimbang Anwar ditahan di dalam sel kecil penjara dan tidur di tilam busa kecil di atas lantai walaupun dengan keadaan kesihatannya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang berkata Anwar tidak akan diberi layanan VIP di penjara Sungai Buloh di mana dia sedang menjalani hukuman lima tahun penjara.

Nurul Nuha, yang menerajui gerakan "March 2 Kebebasan" untuk membebaskan Anwar dan diuar-uarkan mungkin bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, menjelaskan bahawa keluarganya tidak pernah meminta layanan istimewa untuk bapanya.

"Sakit belakangnya semakin teruk," kata ibu berusia 31 tahun dan mempunyai dua orang anak, kepada Malaysiakini dalam satu temubual eksklusif.

"Kami tidak minta layanan VIP. Sudah tentu, dia tidak sepatutnya berada di sana (dalam penjara), kerana dia ditahan secara tidak adil.

"Tetapi beliau menghidap sakit belakang yang teruk. Dan beliau berusia 67 tahun, orang cenderung lupa perkara itu.

"...tetapi usianya semakin meningkat. Apa yang kami mahu ialah tempat yang lebih selesa agar tidak memburukkan lagi sakit belakangnya," kata Nurul Nuha yang digenangi air mata.

"Kehilangan Nik Aziz ibarat terpadamnya satu kerdipan bintang" - Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat umpama terpadamnya satu kerdipan bintang.

Dalam satu kenyataan yang ditulis dari Penjara Sg Buloh, beliau turut meluahkan rasa sedih dengan pemergian tersebut serta terharu dengan keperihatinan Nik Abdul Aziz kepada diri dan keluarganya selama ini.

"Kehilangan beliau ibarat terpadamnya satu 'kerdipan/kerlipan' bintang kerana dia seorang tokoh alim negara.

"Kebangkitan rakyat diperlukan demi masa depan Malaysia yang terjamin daripada kezaliman, insyaAllah. Jangan titiskan air mata, terus berjuang," katanya.

Allahyarham Nik Abdul Aziz, 84 tahun, meninggal dunia pada jam 9.40 malam tadi di sisi anggota keluarga di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, Kota Baharu, Kelantan.

Sebelum itu, anak Allahyarham, Nik Mohamad Abduh dalam satu kenyataan pada petang semalam telah memaklumkan bahawa tahap kesihatan ayahnya menurun selepas menjalani rawatan pada ulsernya pada Rabu dan doktor ketika itu sedang berusaha untuk menstabilkan keadaannya.

The Star: Nik Aziz laid to rest

CNA: Thousands attend Nik Aziz's funeral

Puluhan Ribu Menghantar Jenazah Almarhum Tok Guru Nik Aziz

VIDEO MAJLIS PENGKEBUMIAN JENAZAH ALLAHYARHAM DATUK NIK ABDUL AZIZ [13 Feb 2015]


Banyak sejarah bersama Nik Aziz – Husam

Perjuangan Nik Aziz berbeza dengan pemimpin politik lain apabila dasar yang dibawa beliau berlainan.
aziz musaPULAU MELAKA: Banyak pengalaman pahit yang dilalui sepanjang bekerja dengan Allahyarham Nik Aziz Nik Mat sebelum tahun 1999 dan disambung kembali pada 2004 hingga 2013, kata Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.
Menurutnya, sepanjang bertugas dengan Nik Aziz beliau bertindak sebagai ‘budak suruhan’ bagi menyelesaikan masalah, antaranya termasuk yang berbangkit dengan pihak Istana, mahkamah mahupun parti-parti lain.
“Semua itu telah membimbing saya menjadi lebih matang dan memahami falsafah politik dan dakwah beliau,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tanah perkuburan Pulau Melaka hari ini.
Perjuangan Nik Aziz juga berbeza dengan pemimpin politik lain kerana dasar kepimpinannya adalah mendekatkan diri dengan pelbagai kaum bagi memastikan rakyat Malaysia didekati dengan Islam dan perjuangan itu perlu diwarisi pemimpin PAS dan generasi muda yang lain.
“Saya ada menyimpan tulisan tangan Tok Guru Nik Aziz mungkin tiada siapa yang pernah melihat. Catitan itu mengambarkan pegangan politik dan falsafah beliau dan ianya merupakan perkara berharga yang saya pelajari,” katanya.
Husam yang juga bekas EXCO kerajaan Kelantan menyifatkan pemergian Nik Aziz pada malam Jumaat merupakan penghargaan paling bermakna yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit ditambah pula dengan puluhan ribu rakyat yang hadir.
“Ini penghargaan Allah, saya bahagia diberi seorang pemimpin seperti ini oleh Allah, dengan penghormatan seperti ini saya harap dapat ikut jejak langkah beliau sampai saya meninggal,” ujarnya.
Sementara itu, Datuk Takiyuddin Hassan yang merupakan Ahli Parlimen Kota Baharu, menjelaskan Allahyarham Nik Aziz merupakan pemimpin seluruh umat tanpa mengira bangsa dan agama, yang sukar dicari ganti.
“Saya harap beliau mendapat keberkatan dan ditempatkan dalam kalangan orang yang baik di sisi Allah,” katanya.

‘Semua orang sayang Tok Guru’ - Datin Tuan Sabariah

KOTA BHARU - "Semua orang sayang Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat), sebab itu ramai yang datang hari ini," kata isteri Mursyidul Am Pas, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Sejurus berkata demikian, Tuan Sabariah tidak dapat menahan sedih dan mengesat air matanya.

Biarpun sedih, beliau kemudiannya tersenyum semula sebaik sahaja memandang beberapa tetamu yang berada di sisinya termasuk Exco Kebajikan dan Wanita Kelantan, Mumtaz Md Nawi.

Dalam keadaan terharu, beliau berkata, kesemua ahli keluarganya sempat menemui arwah sebaik sahaja tiba di rumah di Pulau Melaka, di sini, malam semalam.

"Saya sentiasa ada di sisi arwah sebelum dia pergi. Sempat jumpa. Anak cucu pun sempat berhimpun.

"Semua sempat balik jumpa Tok Guru dan kami reda dengan semuanya," katanya lagi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Pulau Melaka jam 9.40 malam.

Allahyarham sebelum itu dibawa pulang pada 8.40 malam dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan ditemani kaum keluarga.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai bukan sahaja dari negeri ini, malah dari luar Kelantan dan beberapa negara.

Bawa anak kecil iring jenazah Tok Guru

Nor Safuan Jalilah memangku anaknya, Sallim Annaseem, 4 bulan, pada majlis solat jenazah, pagi ini.
KOTA BHARU - "Kalau boleh saya mahu lihat jenazah terakhir Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) buat kali terakhir.

Saya rasa tenang dapat hadir untuk ziarah terakhir ini biarpun bawa anak kecil," luah ibu yang membawa anak kecil, Nor Safuan Jalilah Abdul Mutalib, 24, kepada Sinar Harian semasa ditemui di hadapan kediaman Allahyarham di Pulau Melaka, di sini, pagi ini.

Nor Safuan Jalilah yang turun dari jam 8 pagi bersama suami, Mohd Razwadi Ghazali, 35, turut membawa dua anaknya, Sallim Annajmi, 4, dan Sallim Annaseem, 4 bulan.

Dia mengakui pernah bertemu Arwah yang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan II (HRPZII) lebih tiga tahun lalu teruja untuk melihat jenazah buat kali terakhir.

"Saya juga selalu hadir pada majlis ceramah di Dataran Ilmu setiap pagi Jumaat. Anak-anak tidak meragam walaupun berada di tempat ramai," katanya.

Dr Daroyah: Padamnya sebutir permata yang sukar dicari ganti

daroyahSHAH ALAM, 13 FEB: Kepimpinan bersih dan berprinsip yang diamalkan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi pemangkin kepada Exco Kesihatan Selangor, Dr Daroyah Alwi untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan.
Daroyah yang berkesempatan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham dan bertemu isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak bagi merakamkan ucapan takziah atas kehilangan Mursyidul Am PAS itu, di Pulau Melaka, Kelantan, pagi tadi.
“Pemergian tok guru suatu kehilangan besar buat negara dan sukar dicari ganti. Kita berkongsi rasa sedih ini kerana beliau pemimpin yang disanjungi dan disayangi, padamnya sebutir permata yang sukar dicari ganti.

Kehilangan besar buat pimpinan ulama, kata Hadi

KOTA BHARU - Pemergian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan kehilangan besar kepada pimpinan ulama dan arena politik negara, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Namun beliau berkata, Pas akan meneruskan perjuangan parti meskipun kehilangan Allahyarham.

"(Pemimpin) Yang pergi (meninggal dunia) akan berganti, tetapi tidak mungkin sama dengan yang telah pergi," katanya ketika menziarah jenazah Nik Aziz di Masjid Pulau Melaka di sini.

Antara pemimpin pembangkang yang turut menziarah ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, jasa dan pengorbanan Nik Aziz akan sentiasa dikenang kerana beliau merupakan pendokong penubuhan PR.

Beliau melahirkan rasa kagum dengan kehidupan sederhana yang diamalkan bekas menteri besar Kelantan itu dan berkata ia wajar dijadikan teladan buat semua.

Nik Abduh: Ayah mahu perjuangan Islam diteruskan

KOTA BHARU - "Ayah mahu perjuangan Islam sentiasa  diteruskan," kata Nik Mohamad Abduh, anak Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengenai pesanan yang ditinggalkan Allahyarham bapanya.
  
Beliau berkata ketika hari-hari terakhir bapanya sakit, Allahyarham, bekas menteri besar Kelantan itu, ada berpesan mahukan perjuangan Islam di Malaysia sentiasa diteruskan oleh semua pemimpin di pelbagai peringkat.
  
Anak kelima Allahyarham itu ditemui pemberita selepas pengebumian bapanya di sini.
  
Nik Abdul Aziz, 84, meninggal dunia di kediaman beliau pada pukul 9.40 malam tadi, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.
  
Allahyarham yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Chempaka dirawat di hospital itu sejak 19 Jan kerana kanser prostat. 
  
Nik Mohamad Abduh mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada upacara pengebumian yang berlangsung hari ini.
  
"Saya ambil kesempatan bagi pihak keluarga untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang berdoa untuk ayah saya," katanya.

Permohonan Anwar ziarah Nik Aziz ditolak "pihak atasan" Penjara

Nurul Nuha Anwar
SUNGAI BULOH - Permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pihak berkuasa penjara untuk membenarkannya hadir  ke majlis pengebumian bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini, ditolak, kata Nurul Nuha Anwar.

Nurul Nuha bagaimanapun berkata pihak penguasa penjara memberi alasan bahawa permohonan itu ditolak dan ia tertakluk kepada budi bicara 'pihak atasan'.

"Ditolak (permohonan), kita akan hantar mesej rasmi kepada kerajaan untuk memohon melawat, papa sangat sedih kerana Nik Aziz adalah seorang kawan yang baik baginya.

“Kita akan buat rayuan, tapi dia kata pihak atasan akan pertimbangkan dan ia terpulang pihak atasan," katanya kepada pemberita selepas melawat ayahnya yang sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Pesanan daripada Anwar Ibrahim dari Penjara Sg Buloh, 13hb Feb 2015


Anwar sampai mesej sedih perginya Tok Guru Nik Aziz

SUNGAI BULOH - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Mursyidul Am Pas, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat malam tadi sebagai satu kehilangan yang besar buat dirinya.

Mesej sedih itu disampaikan melalui isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang melawatnya di Penjara Sungai Buloh, di sini, hari ini.

"Saudara Anwar menyatakan kesedihannya kerana kehilangan dengan pulangnya ke rahmatullah Tuan Guru Nik Aziz.

"Ini kerana beliau telah berikan banyak sokongan dan dorongan terutamanya ketika kali pertama Anwar ditangkap dan dipenjara sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Anwar.

Allahyarham Nik Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan meninggal dunia pada jam 9.40 malam Jumaat di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz pemimpin Islam dikagumi

Nik Aziz  
KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia malam tadi di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bahru.
  
"Al-Fatihah ... Tok Guru Nik Aziz seorang pemimpin Islam yang dikagumi dan dihormati," titah baginda dalam kumpulan media sosial pegawai-pegawai baginda.
  
Tengku Mahkota Pahang telah menitahkan Setiausaha Sulit Khas baginda, Left Kol (B) Nor Hashim mengutus ucapan takziah daripada baginda sekeluarga kepada keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz.
  
Baginda turut menitahkan semua masjid di Pahang supaya mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk Allahyarham selepas solat Jumaat hari ini.
  
Titah baginda itu dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Khas baginda kepada semua imam masjid di seluruh Pahang awal pagi ini.
  

Allahyarham Tok Guru tokoh politik bijaksana

biodata nik aziz BAU - Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah seorang tokoh politik yang cukup bijaksana dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada kita semua.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sikap kesederhanaan Allahyarham disanjung semua pihak, bukan sahaja dalam peranannya sebagai seorang tokoh politik, tapi juga sebagai tokoh agama yang banyak berjasa. 

"Kita ketepikan soal politik, atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam...semoga rohnya ditempatkan bersama para syuhada dan solihin," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Dengan Rakyat di Dewan Suarah Bau di sini hari ini. 

"Kita juga ucapkan takziah dan sama-sama berharap agar keluarga Allahyarham tabah dalam menghadapi ujian Allah ini," tambahnya. 

Mursyidul Am Pas itu meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baharu Kelantan, pada 9.40 malam tadi. - Bernama

Wartawan ‘musuhi’ TGNA bercucuran air mata tulis berita

SHAH ALAM: Sekalipun terkenal sebagai pemimpin pembangkang tegas melawan Umno BN,  Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sentiasa meramahi pengamal media termasuk dari media arus perdana yang cenderung pro-BN.
Pada satu temu bual, bekas wartawan Berita Harian, Hafizan Taib mengakui berasa kekok berdepan tokoh agama itu tetapi bertukar selesa apabila Allahyarham begitu ramah menjawab soalan.
zz“Segala soalan dijawab dengan tenang dan teratur meskipun beliau diasak dengan pelbagai soalan sukar ketika itu,” katanya yang kini bertugas di Selangor Kini.
zPertemuan itu berlangsung pada program bersama Pertubuhan Seruan Islam di Ipoh, Perak sekitar 2003 atau 2004
Sikap itu berbeza dengan segelintir pemimpin pembangkang yang mudah memusuhi wartawan organisasi media yang dilihat condong kepada idelogi bertentangan.
Bekas wartawan TVSelangorku, Zeanaaima Yusof pula mengakui tidak menyukai Allahyarham pada zaman sekolahnya kerana terpengaruh dengan tohmahan media arus perdana.
“Masa sekolah aku hanya baca satu paper. Paper tu asyik report buruk-buruk pasal Nik Aziz. So aku benci susuk tubuh Nik Aziz,” katanya dalam Facebook.
Bagaimanapun, ia berubah selepas terdedah dengan sifat sebenar Allayarham apabila bekerja di sebuah portal yang mesra Pakatan Rakyat.
“Aku mula terdedah dengan Nik Aziz. Aku baca. Aku proses interview. Aku buat research. Hari-hari ada saja isu babitkan Nik Aziz. Hari-hari aku tengok peel dia.
“Hari-hari dengar hujah dia. Lama-lama aku suka dengan beliau. Lama-lama aku respect pada beliau,” kata wartawan AntaraPos itu yang mengakui menangis berikutan  pemergian Allahyarham.
“Mak mentua aku bagitahu.. Nik Aziz meninggal dunia. Aku terus mengadap komputer. Ternyata betul. Berjujuran air mata jatuh..sambil tangan ketuk berita,” katanya.

Tian Chua: Tuan Guru Nik Aziz antara perancang penubuhan PKR

PETALING JAYA, 13 FEB: Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat antara dua individu penting dari PAS di sebalik rancangan penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata Allahyarham dan Presiden PAS ketika itu, Allahyarham Datuk Fadhil Noor berusaha keras menyakinkan aktivis untuk menubuhkan parti berbilang kaum.
Katanya, mereka mencadangkan platform baru itu bagi melawan Umno BN ketika kebanyakan aktivis masih dilema untuk bergerak dalam politik kepartian atau sebaliknya.
“Saya sendiri ketika itu tidak yakin tetapi mereka kata kalau tidak, sukar mengalahkan Umno dan kami perlukan awak dan bukan Melayu untuk tubuh parti pelbagai kaum.
“Mereka terfikir, sudah sampai masa untuk menukar ‘game’. Perlu sokongan bukan Melayu untuk buka buku baru dan memenuhi aspirasi untuk melihat rakyat Malaysia sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum ‘Anwar Dipenjara: Masa Depan Politik Malaysia’ di pejabat baharu MalaysiaKini di sini, malam tadi.
Tian Chua mengakui formasi PKR bukan idea Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya berpesan menggunakan logo PAS, PRM atau DAP pada pilihan raya sebelum kembali berdemontrasi.
Malah, katanya, idea penubuhan parti berbilang kaum selepas Anwar dipenjara dianggap beberapa rakan dan penyokong kuat Anwar, sebagai idea gila tetapi dipersetujui Ketua Pembangkang itu.

Belasungkawa: Sebelum Jokowi, Tok Guru Nik Aziz sudah lama terjah

KUALA LUMPUR: Sebaik sahaja Joko Widodo atau Jokowi menjawat jawatan Datuk Bandar Solo, beliau sangat dikagumi kerana digambarkan seorang pemimpin yang sederhana dan sering mengambil tahu masalah rakyat dengan cara turun padang atau ada yang menggunakan istilah ‘terjah’, tanpa sebarang protokol dan pengawal peribadi, untuk melihat sendiri apa yang berlaku.

Foto Jokowi bertemu dan mendengar sendiri masalah rakyat mendapat publisiti meluas, lalu masyhurlah seantero alam, Jokowi seorang yang sederhana dan tidak banyak protokol, bukan seperti pemimpin-pemimpin lain.

Bila dilantik menjadi Gabenor  Jakarta dan seterusnya Presiden Indonesia, sikap sederhana dan turun padang tanpa protokol dan pengawal peribadi ini diteruskan oleh Jokowi. Publisitinya makin meluas hingga ada pemimpin lain turut melakukan perkara yang sama. Ada yang turun ke sawah dan ada juga yang naik LRT untuk mendengar masalah rakyat.

Itu semua dirakam dan ‘diviralkan’ dengan tujuan untuk memberitahu rakyat pemimpin ini sangat prihatin terhadap rakyat. Adakah ia ikhlas, hanya Allah yang mengetahui.


Nik Aziz Funeral
 
Namun, lama sebelum itu, satu sosok bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah lama melakukan kerja turun padang atau ‘terjah’ tanpa protokol dan pengawal peribadi.

Sejak mula menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, Nik Aziz sering meninjau sendiri masalah yang dihadapi rakyat Kelantan. Ketika itu tidak ada sebarang publisiti, tidak pula gambar beliau turun padang ‘diviralkan’.

Ketika itu, belum ada media sosial untuk disebarkan gambar Nik Aziz bertemu rakyat.

Nik Abdul Aziz yang dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam. Nik Abdul Aziz telah mendirikan rumahtangga dengan Tuan Sabariah binti Tuan Ishak.


Nik Aziz Funeral

Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan. Hidup beliau sangat sederhana meski bergelar Menteri Besar. Umum mengetahui, Nik Abdul Aziz dan keluarganya tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung.

Nik Aziz disanjung semua kaum tanpa mengira agama, kata Guan Eng

 DAP menyifatkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai tokoh yang bukan saja disanjung oleh umat Islam dalam negara dan luar negara tetapi juga disanjung orang bukan Islam, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha agung DAP itu ketika memberikan ucapan di majlis pengebumian Nik Aziz berkata, kehidupan "sempoi dan bersih" mursyidul am PAS itu akan diingati semua pihak sampai bila-bila. Beliau juga berkata, Nik Aziz yang menjadi menteri besar selama 18 tahun ketika beliau dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) lain dilantik menjadi ketua menteri dan menteri besar.

"Saya masih ingat, ketika kita tawan lima negeri dalam pilihan raya 2008, kami semua memandang kepada Tok Guru Nik Aziz untuk meminta panduan dan nasihat," kata Guan Eng sebak.
Turut serta bersama Guan Eng adalah bapanya Lim Kit Siang yang tiba kira-kira jam 9.00 pagi di rumah Nik Aziz. Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika memberikan ucapan berkata, memang benar yang hilang akan berganti.

 "Tetapi kehilangan Tok Guru Nik Aziz tidak akan ada yang boleh menggantikannya," kata Mustafa. Menurut Mustafa, PAS kehilangan pemimpin yang paling disayangi semua.
Mustafa meminta perjuangan Nik Aziz diteruskan semua ahli PAS. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di antara pemimpin tertinggi kerajaan yang turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Nik Aziz.

Perginya seorang Tok Guru


nikaziz_karpal


Datuk Nik Aziz Nik Mat menghembuskan nafas terakhirnya di Kelantan malam tadi. Dalam usia 84 tahun Allahyarham telah meninggalkan legasi perjuangan yang unik dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Segala kebaikan dan keluhuran budinya kini menjadi tulisan, bualan dan kenangan kepada mereka yang menyanjunginya. Hanya segelintir manusia akan membencinya, itu pun semata-mata kerana politik kepartian atau kemarahan peribadi.
Bagi DAP, perbezaan ideologi politik Nik Aziz yang lebih mesra dengan gelaran Tok Guru itu dengan parti adalah seperti bumi dan langit. Yang satu agama, yang satu lagi demokrasi sekular dengan hak-hak asasi serta kesetaraan dan kesaksamaan.
Bagi PAS, prinsipnya adalah pemerintahan yang berteraskan Quran dan Sunnah, dan ditambah pula dengan usaha mahu melaksanakan hukum hudud.
DAP pula berpegang kepada prinsip demokrasi sekular yang dianggap selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang (sepatutnya) menjamin hak semua kaum dan agama tanpa ada sebarang bentuk diskriminasi.
Namun, perbezaan ketara itu tidak pernah menghalang hubungan baik di antara Tok Guru dan pucuk pimpinan DAP, khususnya Lim Guan Eng dan DAP Lim Kit Siang.
Walaupun “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam hal-hal negara Islam dan pelaksanaan hudud, mereka boleh duduk semeja untuk bersetuju kepada usaha meluaskan amalan demokrasi, menghapuskan undang-undang zalim dan anti-kebebasan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan ekonomi dengan memastikan tiada siapa dipinggirkan.
Malah, seperti yang disuarakan kebanyakan pemimpin Pakatan Rakyat, hal-hal yang telah dipersetujui oleh para pimpinan jauh lebih banyak daripada sekadar dua, tiga perkara yang mereka berbeza pendapat.
Di sinilah peranan Nik Aziz menjadi amat penting. Walaupun pandangan hidup dan politik beliau konservatif, khususnya tentang hak wanita dan hukum-hakam agama, beliau cekap membaca perubahan politik Malaysia.

Tribut Tok Guru Nik Abdul Aziz, yang dikagumi dari jauh


Nik_Abdul_Aziz

Semalam hujan lebat, bagai menangisi seseorang. Saya merasakan kepelikan itu setelah lama Kuala Lumpur ‘kemarau’. Nah, malamnya dengar berita Tok Guru Nik Abdul Aziz meninggal dunia di twitter editor berita Roketkini.com. Innalillahi wainna ilaihi raji’un. Namun, saya menahan tangisan saya. Dalam hati saya senyap-senyap berikan doa apa yang patut.
Nik Aziz adalah wajah penting politik negara. DAP terutamanya menyedari hal itu, walaupun ada hal-hal yang mereka selisih. Namun, Nik Aziz tidak tipikal seperti sebahagian ‘ulama-ulama’. Beliau adalah ulama yang selalu melawan arus lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak faham akan kebejatan dan kezaliman pemerintah UMNO dan Barisan Nasional.
Mungkin itulah antara kualiti yang sangat jarang dijumpai akhir-akhir ini. ‘Mazhab’ Tok Guru yang sedar akan hal ini, membuatkan dia disenangi rakan-rakan Pakatan Rakyat. DAP terutamanya, yang memang memusuhi sosok gerombolan UMNO dan Barisan Nasional-parti perkauman yang dahsyat itu.
Jika boleh saya katakan, Nik Aziz adalah antara gam terakhir yang membolehkan parti-parti gabungan Pakatan Rakyat bersatu dan fokus melawan UMNO untuk sebuah pemerintahan yang adil berdasarkan pentadbiran berintegriti. Saya masih teringat bagaimana Nik Aziz membidas gerombolan aktivis ‘Kerajaan Perpaduan Selangor’ yang diwakili Hasan Ali, Nasaruddin Mat Isa dan mereka yang bersama mereka. Terkehel mereka pada waktu itu. Sehingga akhirnya, usaha-usaha menghancurkan Pakatan Rakyat sirna- atas sensitiviti Nik Abdul Aziz.
Kerana membesar dari keluarga PAS, bahkan mungkin tidaklah melebih saya katakan pentaksub PAS. Saya arif akan psike orang-orang PAS. Nasib baik keluarga saya bukan dari pendokong ‘Kerajaan Perpaduan’. Psike orang-orang PAS adalah mereka sangat kuat berpegang dengan barisan ‘ulama-ulama’nya. Jika tidak, tidak adalah slogan ‘Kepimpinan Ulama’ itu. Ulama bagi mereka sangat penting dalam memimpin kerana mudah, mereka lebih berilmu, mereka lebih bertakwa, dan mereka lebih segalanya (saya pula ada takrifan ulama saya sendiri).
Nik Aziz adalah generasi ‘Kepimpinan Ulama’, dia bukan generasi asal seperti zaman Dato’ Asri ataupun zaman Burhanuddin Al-Helmi. Namun, walaupun dia berada dalam generasi kepimpinan ulama dia tidak mendabik dada dan mempergunakan gelaran atau slogan itu sewenang-wenangnya seperti yang dilakukan sebahagian orang- kerana itu mungkin keluarga saya dari mazhab yang ini. Mazhab ‘asal’ kepimpinan ulama. Yang sedar akan kebejatan dan kezaliman, yang sedar prioriti, yang sedar siapa musuh siapa kawan, yang sedar mana yang harus didulukan mana yang harus dikemudiankan.
Ya, memang benar ada hal juga yang saya tidak setuju dengan sosok sederhana tetapi tajam pemikiran dan pencak kinayah dan isti’arahnya itu. Tetapi, jasanya yang besar dalam politik pembangkang tidak harus diperkecilkan.

Kenali Almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Tok Guru Nik Aziz: Detik-detik perginya tokoh yang disegani

Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz menghembuskan nafas terakhir  pada usia 84  tahun di kediamannya pada pukul 9.40 malam tadi, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari hospital.

Allahyarham dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, HUSM sejak 19 Jan lepas kerana kanser prostat dan keadaan kesihatannya kian merosot sejak Disember tahun lepas.

Berikut merupakan detik-detik perginya tokoh yang disegani ramai, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Nik Aziz Funeral

Tok Guru Nik Aziz: Aliran pemikirannya perlu diangkat ke peringkat ilmiah

KUALA LUMPUR: Semua pihak memainkan peranan besar untuk menjadikan pemikiran dan pengalaman Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke satu institusi khususnya bagi membincangkan isu Islam, demokrasi dan pentadbiran, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.

Beliau berkata demikian dalam program siaran langsung Buletin AWANI khas bersama pengacara, Nazri Kahar.

Peguam Yusmadi Yusoff juga menjadi tetamu jemputan dalam mengenang ketokohan Nik Abdul Aziz yang telah kembali ke rahmatullah apda jam 9.40 malam semalam.

“Beliau bukan sahaja seorang ulama malah ahli politik. Semua nilai kepimpinan dan keperibadian yang baik tergambar dalam perwatakannya.

“Nik Aziz juga berjaya mengungkap isu berkaitan soal pemerintahan. Beliau seorang pemikir. Namun, pada masa yang sama dia juga seorang murabbi (guru) yang tidak lepas daripada tanggungjawab untuk mengajar walau dalam keadaan sibuk sebagai pemimpin politik,” ujar Shaharuddin.

Tambah beliau, jika dilihat dalam politik Kelantan sendiri, masyarakat tidak melihat pada parti tetapi menilai ketokohan yang dimiliki Nik Aziz.

“Figura yang berprinsip ini merentasi parti politik. Seiring dengan ketokohan itu, beliau menggambarkan peribadinya sebagai seorang bapa, suami dan pemimpin masyarakat yang baik,” ujar beliau.

Dari sudut pengaruh dan penerimaan dalam kalangan generasi muda, Yusmadi pula memberitahu bahawa pemimpin tersebut meninggalkan fenomena inspirasi yang tinggi.

Lebih penting daripada itu, beliau berjaya menjadi pemimpin yang dekat di hati rakyat melalui pendekatannya.

“Sebagai pemimpin yang terlibat dengan politik sejak usia muda hingga ke akhir hayatnya, beliau dilihat sebagai seorang yang bersederhana dan tahan dugaan kemewahan serta kuasa,” kata Yusmadi.

Peguam tersebut turut memberitahu, Nik Aziz hingga pada hari-hari terakhirnya dalam keadaan tenat masih prihatin terhadap isu-isu melibatkan kaum wanita.

Legasi Tok Guru Nik Aziz akan terus bersama rakyat

rwe-940x470
Salmah Azim (kiri), P.Asokan (tengah) dan Abdul Hadi Mahmud sanggup meredah perjalanan beratus kilometer untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Nik Aziz.

“Tok Guru ialah pembimbing saya dan beliau akan terus menjadi pembimbing saya, luah seorang pekerja swasta, P. Asokan yang turut menghadiri pengebumian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Tanah Perkuburan Pulau Melaka di sini, hari ini.
Bercakap kepada The Rakyat Post, Asokan yang juga merupakan Ketua Kelab Penyokong PAS Pulau Pinang berkata, Nik Aziz Nik Mat merupakan insan yang paling jujur dan seorang yang sangat  berterus-terang yang pernah ditemuinya.
“Saya pernah bersemuka dengannya dan saya percaya beliau mempunyai pegangan tersendiri dalam pegangan agama serta beliau seorang yang memahami,” katanya.
Apabila Asokan berpeluang untuk bertemu dengan Allahyarham pada beberapa majlis, Nik Aziz sentiasa menekankan kepentingan untuk menghormati satu sama lain tanpa mengira agama.
“Tok Guru sentiasa menekankan apa yang diperkatakan merujuk kepada Surah Al-An’am dalam kitab al-Quran yang diberitahu kepada saya bahawa saya akan ikut agama saya, dan kamu akan ikut agama kamu.
“Itu membuatkan saya lebih menghormati beliau,” katanya.
Sementara itu, seorang petani, Abdul Hadi Mahmud turut meluahkan rasa sedihnya di atas pemergian veteran PAS itu.
“Beliau merupakan inspirasi kepada Komuniti Islam Malaysia dan sentiasa memberi kekuatan kepada belia untuk menjadi insan yang lebih baik dalam masyarakat,” katanya.
Abdul Hadi datang ke Kota Bharu dari Kedah bersama empat rakannya dan tiba di sini kira-kira jam 10 pagi tadi untuk memberi penghormatan terakhir kepada Nik Aziz.
Dalam pada itu, Salmah Azim, 52 yang merupakan seorang guru datang dari Ipoh, Perak berkata, dia merasa terpanggil untuk ke Pulau Melaka bagi memberi penghormatan terakhir buat Nik Aziz dan menziarahi keluarganya.
“Tok Guru sentiasa menjadi guru dan pembimbing dalam hidup saya. Penting bagi keluarga saya untuk memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham,” katanya.
Nik Abdul Aziz, 84, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 9.45 malam tadi berikutan komplikasi daripada kanser prostat tahap empat yang dihidapinya.
Beliau meninggalkan isteri, Tuan Sabariah Tuan Ishak dan 10 orang anak, lima lelaki dan lima anak perempuan.

Suasana mendung tatkala Tok Guru Nik Aziz dikebumikan

Suasana mendung tatkala Nik Aziz dikebumikan

KOTA BAHARU: Suasana sayu ketika jenazah Datuk Nik Abdul Aziz Bik Mat dikebumikan pada pukul 10.30 pagi tadi dikejutkan dengan kejadian awan mendung secara tiba-tiba tanpa setitik hujan pun seolah-olah melindungi jenazah daripada terkena sinaran panas terik.
Persekitaran yang turut menjadi dingin dengan angin kencang itu disambut dengan laungan ‘Allahuakbar’ berkali-kali oleh orang ramai beragama Islam di tanah perkuburan yang menganggapnya sebagai satu kejadian luar biasa.
Tidak ketinggalan ramai daripada mereka yang tampil merakam gambar foto dan video berdurasi lebih dua minit yang sedang menjadi viral di laman sosial.
Video bertajuk “Awan mendung mengiringi jenazah TGNA” itu sedang menerima ratusan komen dalam laman sosial menyatakan ia sebagai tanda Allah cintakan beliau.
Nik Abdul Aziz, 84, meninggal dunia di rumahnya selepas sekian lama menghidap kanser prostat.
Mayat Nik Aziz dikebumikan bersebelahan kubur bapanya, Nik Mat Raja Banjar, yang meninggal dunia kira-kira 40 tahun dahulu.
Jenazah diringi pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan penyokong yang sanggup berjalan lebih dua kilometer kerana jalan ke rumah Nik Aziz di tutup.
Enam buah bas disediakan berdekatan stadium Sultan Mohamad ke feri untuk memudahkan orang ramai ke Pulau Melaka.

Allahuakbar! Bumi Kelantan menangis lagi

PERGINYA seorang murabbi...  Berita pemergianmu disambut tangis hiba tanpa mengira agama dan bangsa.

Sebagai orang media, pernah beberapa kali kami bersua muka namun jauh lebih banyak saya 'mengenali' Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerusi paparan berita.

Tidak kurang juga melalui gambar-gambar yang dirakam lensa kamera memaparkan kehidupan biasa bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Walau hanya beberapa kali diberi peluang bertentang mata, namun saat perkhabaran Allahyarham sudah kembali menemui sang pencipta, kenangan lalu kembali bermain di ruang mata.

Betapa saya kagum melihat keperibadiannya. Ketika itu, saya ditugaskan membuat liputan perjalanan Muktamar Tahunan Pas kali ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa, Kelantan, beberapa tahun lalu.

Ketika itu keadaannya kelihatan agak uzur, namun pemimpin yang dikenali dengan keluhuran budi itu masih sudi melayan kerenah media.

Soalan diajukan bertubi-tubi, ya.. semuanya bernada kontroversi. Namun wajah Mursyidul Am Pas itu saya lihat tenang...

Diangkat gelas air kosong di tangan kanannya. Dia meneguk air itu perlahan, tidak bingkas melatah meski diasak pemberita.

Saya bukan orang yang dekat dan kerap bertemu Allahyarham. Namun peluang kali pertama bertemu secara dekat itu membuatkan saya teruja.

Saya menilai personaliti Allahyarham buat simpanan memori sendiri. Wajahnya saya teliti.

Hari ini, memori itu kembali dikenang namun dengan hati yang cukup sayu.

MB Selangor: ‘Beliau banyak mengajar dan menasihati saya’

azminiDato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyifatkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai sebagai ‘gurunya’.
Menerusi twitter, beliau selain menyampaikan ucapan takziah, menganggap bekas Menteri Besar Kelantan itu banyak memberi bimbingan.
“Beliau banyak mengajar dan menasihati saya. Al-fatihah kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz #throwback #2013,” tulisnya.
Selain Mohamed Azmin, beberapa Exco Selangor antaranya Amiruddin Shari dan Dr Daroyah Alwi turut ke Kelantan bagi memberi penghormatan terakhir.

Ratusan ribu manusia mengiringi jenazah Tok Guru

KOTA BHARU: Jenazah Almarhum Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat selamat disemadikan kira-kira jam 10.45 pagi tadi di Tanah Perkuburan Pulau Melaka.
Ratusan ribu manusia mengiringi jenazah Mursyidul AM PAS itu yang diusung oleh lima orang anak lelakinya menuju ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah beliau.
Sebaik sahaja jenazah diusung keluar dari masjid cuaca yang panas tiba-tiba bertukar mendung sehinggalah jenazah dibawa turun ke liang lahad.
Turut mengiringi Almarhum ke perkuburan ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus, dan beberapa pimpinan AJK PAS Pusat.
Almarhum menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.40 malam tadi di sisi ahli keluarganya, di rumahnya di Pulau Melaka, kira-kira satu jam selepas keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)
Almarhum telah menerima rawatan selama 25 hari di HUSM selepas menghidap penyakit kanser prostat tahap empat.

Tok Guru Nik Aziz, sosok kecil yang besar jiwanya

Zakiah Koya

Pertama kali saya bertemu dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1995.

Beliau seorang yang kecil sosok tubuhnya.

Kali terakhir saya lihatnya pada 18 Disember tahun lalu, dalam hujan lebat, petanda banjir akan melanda Kelantan.

Ketika itu kesihatannya sudah merosot dan terpaksa membawa beg kencing bersamanya. Keadaan itu buatkan saya segan untuk bertemu dengan beliau.

Saya hanya renung allahyarham daripada luar rumah, dalam gelap, walaupun saya dibawa ke situ oleh Pejabat Menteri Besar Kelantan sendiri.

Walaupun uzur, tatap matanya sentiasa tajam.

Enam kali mewawancaranya dalam tempoh 20 tahun, saya sentiasa ingat pada renungan tajam matanya, terus menusuk pandangan kita.

Dalam wawancara saya dengan  Nik Aziz pada 1995 sebagai seorang wartawan muda, saya terbang daripada Kuala Lumpur.

Saya menggalas tugas menjadi wartawan pertama akhbar arus perdana berbahasa Inggeris melakukan tugas itu.

Tok Guru ikon politik rendah diri – Bersih 2.0



KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menzahirkan rasa amat sedih dengan kepergian Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 menyifatkan Allahyarham seorang yang rendah diri dan ahli politik yang bersih.

“Ramai yang mengkagumi sifat rendah diri, kehidupan yang bersih dan gaya hidup beliau yang mudah – semua sifat-sifat dan amalan yang jarang kedapatan dalam ahli politik.

“Tidak kira fahaman politik, agama, gender dan kaum kita, tidak dapat dinafikan bahawa kita telah kehilangan seorang tokoh negara yang utama dan disegani.

“Kami berkongsi kesedihan dan mengucapkan takziah kepada keluarga serta penyokong Tok Guru dari semua agama dan anutan politik,” demikian kenyataan media Bersih 2.0.

Bersih 2.0 turut menyifat Tok Guru, Mursyidul Am PAS itu telah memainkan peranan penting dalam mempopularkan PAS dalam kalangan bukan Islam pada tempoh kritikal apabila bangsa dan agama dipolitikkan oleh kerajaan pemerintah untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Tuan Guru buktikan 23 tahun Kerajaan Kelantan bersih



KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat atas pemergian murabbi ummah itu.
Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar berkata pemergian Tuan Guru Nik Abdul Aziz bukan sahaja merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat negara ini bahkan kehilangan kepada ummah sejagat.
"Pemimpin dan aktivis perjuangan Islam di seluruh dunia sedang berkongsi kesedihan atas padamnya sebutir permata yang sukar dicari ganti," ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah role model terulung sebagai pemimpin yang zuhud, tegas dengan prinsip, luas pemikiran serta kuat pengabdian diri kepada Allah SWT.
Menurutnya lagi, Almarhum telah membutikan sepanjang 23 tahun mentadbir Kelantan selaku Menteri Besar, beliau berjaya mewujudkan sebuah kerajaan yang benar-benar bersih, bebas rasuah dan penyelewengan.
"Legasi unggul itu sedang diteruskan oleh kepimpinan negeri yang ada," katanya.
Justeru, kata beliau semoga perwatakan mulia yang dipersembahkan sepanjang hayat Almarhum, memberi semangat, inspirasi dan ikutan kepada generasi baru yang akan meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran di negara ini.
"PAS Kedah mendoakan semoga roh Almarhum Tuan Guru diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT hingga ke jannah," ujarnya.

Tuan Guru tinggal legasi politik bermakna



KUALA LUMPUR: Angkatan Islam Malaysia (Abim) merakam ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kembali ke rahmatullah malam tadi.
Presidennya, Amidi Abdul Manan berkata, pemergian Mursyidul Am PAS itu meninggalkan legasi yang sangat bermakna kepada perjuangan Islam di negara ini.
"Komitmen Tuan Guru ke arah memartabatkan Islam menerusi mekanisme politik demokrasi jelas dizahirkan ketika menjawat jawatan selaku Menteri Besar Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim.
"Dalam bidang politik Islami, Allahyarham juga telah menampilkan keterbukaan dalam memahami serta menguruskan kepelbagaian politik negara ini yang rencam," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Beliau berharap legasi politik Tuan Guru Nik Aziz dapat dihargai serta dimanfaatkan sebagai rujukan untuk seluruh generasi muda.

Tuan Guru membangun Islam, politik matang


KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada isteri serta keluarga Almarhum Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat atas pemergian suami dan ayahanda tercinta ke rahmatullah pada malam tadi.
"Ikram juga mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada Presiden, pimpinan dan ahli-ahli PAS atas kehilangan Mursyidul Am PAS yang telah banyak berjasa," ujar Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam kenyaaan kepada Harakahdaily.
Menurutnya, negara dan umat kehilangan seorang ulama besar dan pemimpin politik yang telah banyak memainkan peranan bagi membangunkan Islam serta politik yang matang di negara ini.
Katanya, ketabahan Tuan Guru melalui pelbagai zaman sepanjang sejarah hidupnya telah membuktikan bahawa almarhum seorang yang istiqamah dalam perjuangan bagi menegakkan Islam, kebenaran dan keadilan.
Beliau berkata, ketabahan Tuan Guru melalui pelbagai ujian sepanjang memerintah negeri Kelantan selama lebih dua puluh tahun menginsafkan kita tentang kecekalan seorang Menteri Besar dalam mengharungi pelbagai fitnah dan ujian.
"Semoga Allah Subhanahu wa Taala merahmati rohnya dan menempatkannya bersama para syuhada' dan solehin.
"Saya sendiri, bersama-sama pimpinan Ikram Kelantan, akan mewakili Ikram bagi menghadiri solat jenazah dan majlis pengkebumian di Kelantan pada pagi ini, insya Allah," ujarnya lagi.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pemimpin untuk semua kaum


KUALA LUMPUR: Perginya Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat mengadap Ilahi mencetuskan kesedihan yang amat sangat kepada ahli PAS dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian.  Beliau merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan ramai yang senang dengan cara beliau melayan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, demikian kenyataan PAS Sarawak melalui Timbalan Pesuruhjayanya, Jofri Jaraiee

 “Tok guru Nik Aziz mendapat sokongan daripada sebilangan besar orang bukan Islam di Malaysia dan memainkan peranan penting dalam peningkatan sokongan pada  PAS di kalangan orang bukan Islam.

“Seorang pemimpin yang jujur, amanah serta sukar dicari ganti. Kematian beliau merupakan satu kehilangan yang amat besar bagi ahli PAS serta rakyat Malaysia amnya.

“PAS Sarawak ingin merakamkan ucapan takziah atas kematiannya, Semoga Allah ampunkan beliau dan meletakkan rohnya bersama dengan roh orang-orang soleh,” ujar Jofri yang juga YDP PAS Miri.

Sementara itu PAS Sabah turut mengucapkan takziah kepada keluarga Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“PAS Sabah juga berharap agar semua pemimpin Islam di Sabah dapat mencontohi kezuhudan dan keperibadian Tuan Guru Nik Aziz yang tidak mementingkan harta dan pangkat semasa menjadi Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun. Beliau merupakan ikon politik dan diterima semua kaum tanpa mengira agama. Beliau juga telah menunjukkan sifat seorang muslim sejati dan integriti yang amat tinggi,” ulas Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamid Ismail.