Akhirnya masalah Kuil Sivan, di Bukit Gasing, Petaling Jaya yang dikatakan berlarutan sejak sebelum merdeka selesai sepenuhnya selepas dua bulan Mohamed Azmin Ali dilantik menjadi Menteri Besar Selangor, sekaligus menyaksikan beliau diangkat sebagai “hero” malam tadi.
Penyelesaian dibuat selepas kerajaan PKR negeri Selangor meneliti laporan yang dibuat Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam.
Menurut Azmin, kerajaan negeri mewartakan satu ekar tanah untuk pembinaan kuil berkenaan yang sebelum ini dibina tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Setelah berbincang dengan kerajaan negeri, pihak pengurusan kuil bersetuju untuk merobohkan struktur yang tidak mengikut spesifikasi sementara rundingan dijalankan untuk mewartakan tempat tersebut sebagai tempat ibadat bukan Islam.
“Setelah diteliti laporan Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam dan maklum balas yang dikemukakan kepada kerajaan negeri, kita telah bersetuju untuk mewartakan satu ekar tanah di Bukit Gasing bagi tujuan pembinaan Kuil Sivan di mana keluasan bangunan yang dipohon pihak pengurusan dan sebahagian lagi digunakan untuk meletakkan kereta,” katanya selepas meninjau ambang sambutan Thaipusam 2015 di Batu Caves, Isnin malam.
Selain itu, tambah Azmin, terdapat sebuah cerun di kawasan berkenaan yang akan diselenggara oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Sempena sambutan Thaipusam 2015, kerajaan negeri Selangor turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM320,000 yang diserahkan sendiri Mohamed Azmin kepada 20 wakil pengurusan kuil seluruh negeri itu.