Muhammad Zahid Md Arip (kanan) menunjukkan laporan polis di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN 
KUALA LUMPUR - Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai), Muhammad Zahid Md. Arip hari ini membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa bertindak merampas pasport antarabangsa milik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga mendesak agar Anwar diletakkan di bawah tahanan atau pemerhatian termasuk kawalan polis sementara menunggu keputusan kes Liwat II pada 10 Februari ini.

Menurutnya, laporan polis ini dibuat kerana mahu belajar daripada kes yang melibatkan Koperal Sirul Azhar Omar dalam kes pembunuhan Al-Tantuya.

"Dia memiliki pasport, dia boleh terus terbang ke Australia, di sana tanpa perlu merayu perlindungan politik, dia tidak dikembalikan kerana kerajaan Australia sebuah kerajaan yang anti dengan hukuman mati.

“Kita bimbang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan segala "kecerdikan" yang dia dan pasport yang dia ada, dia boleh terbang ke mana-mana negara termasuk Amsterdam," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Mahkamah Persekutuan bahawa keputusan kes Liwat II terhadap Ketua Umum PKR itu akan diumumkan pada 10 Februari ini.

Anwar, 67, sebelum ini dijatuhkan hukuman lima tahun penjara tetapi pasukan pendakwaan merayu hukuman lebih berat dikenakan.