KUALA LUMPUR, 25 Januari:
Cadangan menjadikan kesalahan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah dalam akta baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 disaran ditarik balik kerana dibimbangi melahirkan generasi ‘besar kepala’ dan tidak menghormati ibu bapa.
Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata pelaksanaan akta seumpama itu akan disusuli dengan tindakan memisahkan anak dengan ibu bapa sehingga berusia 18 seperti yang berlaku di Sweden.
Katanya, kesalahan jenayah melibatkan dua elemen iaitu actus reus (perlakuan) dan mens rea (niat jenayah).
“Niat jenayah hanya wujud andai ia berlaku secara konsisten dan tidak bersebab.
“Merotan anak bagi tujuan mengasuh jelas terkeluar daripada pengertian ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Bernama, hari ini.
Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, merotan anak berkemungkinan menjadi kesalahan dalam akta baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun depan.