JAKARTA, 12 Januari:
Pasukan penyelam hari ini menemui perakam suara kokpit pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, yang terletak 20 meter dari lokasi perakam data penerbangan pesawat itu ditemui dan dikeluarkan pagi tadi.
Agensi berita AP melaporkan, perakam suara kokpit itu bagaimanapun belum dapat dikeluarkan pasukan penyelam, kerana masih tersepit di bawah serpihan pesawat yang berat.
Pasukan penyelam berusaha mengeluarkan alat yang penting, bagi membantu siasatan nahas itu, pada kedalaman 32 meter (105 kaki) di dasar Laut Jawa, pada Isnin.
Terdahulu, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia, Bambang Soelistyo pada pagi tadi mengumumkan, alat perakam data penerbangan telah dikeluarkan dari bawah sayap pesawat berkenaan dan dinaikkan ke permukaan, kira-kira jam 7.11 pagi.
Alat perakam data penerbangan itu ditemui di bawah serpihan sayap pesawat, pada kedalaman kira-kira 30 meter (100 kaki).
Pasukan penyelam gabungan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) dan BASARNAS, mula menumpukan pencarian kotak hitam pesawat Airbus A320-200 AirAsia Indonesia itu sejak kelmarin, selepas tiga kapal yang terbabit dalam misi pencarian mengesan isyarat ‘ping’.