Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) 
SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan undang-undang baharu untuk menghapuskan diskriminasi pendapatan antara lelaki dan perempuan di negara ini.
 
Ini kerana undang-undang yang sedia ada masih tidak digunapakai majikan dalam menyelaras tahap penggajian pekerja di sesebuah syarikat.
 
Setiausaha Agung Kongkres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Krishnam berkata, sebagai negara maju yang berpendapatan tinggi, majikan syarikat swasta di negara ini tidak harus mengamalkan diskriminasi ke atas pekerjanya.
 
Menurutnya, perolehan keputusan penganalisaan Jabatan Perangkaan Kebangsaan 2013 yang menyatakan perbezaann jurang pendapatan di kalangan jantina jelas mengecewakan.
 
“Tidak dinafikan memang wujud jurang pendapatan antara lelaki dan wanita di negara ini. Gaji wanita lebih rendah dari gaji lelaki.
 
“Tidak seperti di negara maju, kebanyakan negara maju tidak mengamalkan diskriminasi sebegini. Perbezaan pendapatan tidak akan wujud di negara mereka,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.