Rafizi Ramli
SHAH ALAM – PKR sedia untuk memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung beberapa pendedahan pimpinan parti itu mengenai hutang dan penggunaan dana oleh syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli berkata, perkara itu tidak dilakukan sebelum ini kerana beliau tidak yakin pihak berkuasa itu akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap pengurusan 1MDB yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin negara.

“Laporan-laporan kes lain yang tidak bersabit dengan pemimpin tertinggi BN pun tidak mendapat perhatian (pihak berkuasa).

“Setakat ini, saya tidak nampak kesungguhan di pihak SPRM dan PDRM untuk menyiasat skandal 1MDB,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas hasrat Timbalan Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan semalam yang mahu memberikan kenyataan mengenai skandal 1MDB kepada unit siasatan jenayah Bukit Aman dan SPRM dalam masa terdekat.