Rafizi Ramli
SHAH ALAM - Pengumuman harga RON95 pada RM1.91 seliter dan diesel pada RM1.93 seliter oleh kerajaan Persekutuan berkuatkuasa hari ini mengesahkan bahawa pengiraan harga bahan api itu yang dibuat oleh PKR sebelum ini adalah tepat.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli berkata, pengiraan harga minyak itu dibuat mengikut harga pasaran dan formula jaminan keuntungan serta bayaran kos kepada syarikat minyak.

"Semalam pada jam 11.30 pagi, saya telah mengeluarkan kenyataan bahawa harga RON95 mengikut formula purata bulanan adalah RM1.91 seliter dan diesel adalah RM1.94 seliter.

"Harga itu tepat seperti yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan lewat malam semalam yang sekali gus mengesahkan bahawa kaedah dan pengiraan PKR adalah tepat seperti formula yang ditetapkan kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan medianya kepada Sinar Online, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan itu mendedahkan data harga pasaran bagi RON95 dan diesel telah menjunam masing-masing pada harga RM1.43 seliter dan RM1.56 seliter pada 30 Disember lalu.