Isnin, 27 April 2015

Husam cadang usul undi tidak percaya Najib ekoran skandal 1MDB

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mencadangkan satu usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat penghujung Mei nanti bagi mempertikaikan cara beliau mengendalikan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Langkah ini perlu kerana isu 1MDB bukan isu Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja, yang usianya mungkin sudah tidak lama berbaki, tetapi melibatkan semua rakyat Malaysia, katanya dalam satu kenyataan hari ini. "1MDB melibatkan kita semua dan anak cucu kita lebih daripada melibatkan Dr Mahathir," kata Husam, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Kelantan yang menegaskan 1MDB ialah isu terbesar negara waktu ini.

 "Sekalipun Dr Mahathir acap kali menyebut jumlah hutang 1MDB adalah RM42 bilion, namun berdasarkan penyata kewangan 1MDB pada 2014, jumlah tanggungan 1MDB mencecah RM48.96 bilion termasuk hutang RM45.38 bilion dan cukai tertunggak RM2.3 bilion.

"Bermakna, hutang 1MDB berkembang lebih besar daripada apa yang disebut oleh Dr Mahathir sebenarnya," kata Husam, salah seorang ahli ekonomi daripada parti Islam itu. Dalam usianya baru berumur empat tahun, kata Husam, 1MDB mencipta tanggungan negara yang begitu besar.


"Bagaimana jika Najib dibiarkan menguruskan negara untuk 4 tahun akan datang tanpa sebarang sekatan yang berkesan?" soal beliau. Beliau menjangkakan, ketika itu, hutang 1MDB akan menjadi RM100 bilion dan separuh daripadanya akan lesap entah ke mana. Bagi Husam, usia Dr Mahathir pada kebiasaan manusia biasa tidaklah terlalu lama berbaki. Beliau tidak akan sempat menanggung malapetaka daripada hutang menggunung itu, katanya.

Generasi baharu Malaysia pula, katanya, sebenarnya yang perlu lebih peka dengan gaung hutang yang begitu besar terjadi dalam masa begitu singkat dengan lompang besar ke mana ia dihilangkan tidak terjawab. "Kita juga harus bertanya sebagaimana pertanyaan Dr Mahathir. Ke mana lesapnya wang itu? Untuk negara? Untuk individu? Untuk dana politik?" soal beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA