Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP)
KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hari ini memohon Kementerian Pendidikan menyiasat laporan terdapat guru terjejas banjir dipanggil bertugas awal antara 4 hingga 10 Januari, sebelum sesi persekolahan 2015 bermula.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, laporan untuk bertugas awal itu diterima daripada Guru Besar dan Pengetua di beberapa sekolah terjejas banjir termasuk di Johor dan Melaka dengan alasan terdapat banyak tugas yang perlu diselesaikan di sekolah.

"Sedangkan guru-guru ini terjejas banjir, ada antaranya menjadi mangsa banjir, masih berada di kampung halaman dan tersekat kerana jalan ditutup, di mana timbang rasa pihak atasan sekolah?," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tegasnya arahan bertugas awal terutama bagi guru terjejas banjir itu tidak sewajarnya timbul kerana kementerian sendiri telah mengeluarkan arahan penangguhan permulaan sesi persekolahan 2015 di seluruh negara, selama seminggu, berikutan banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung.