Azmin Ali 
SHAH ALAM - Tahun 2014 menyaksikan krisis kepimpinan di Selangor yang berakhir dengan episod peletakan jawatan secara 'paksa' Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar dan digantikan dengan seteru politiknya Mohamed Azmin Ali.
  
Bermula dengan 'Langkah Kajang', satu demi satu reputasi Abdul Khalid yang menerajui kepimpinan kerajaan negeri Selangor sejak 13 Mac 2008 dicalarkan oleh partinya sendiri, PKR.
  
Kemelut dalaman PKR membawa kepada pemecatan Abdul Khalid daripada parti itu pada 9 Ogos lepas kerana mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat yang mencalonkan Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar yang baharu.
  
Abdul Khalid, 68, seterusnya menerima pelbagai tekanan untuk menjelaskan isu berkaitan elaun baharu menteri besar; kenaikan cukai bagi lesen perniagaan; isu pinjaman beliau dengan Bank Islam dan cadangan pembinaan Lebuhraya  Kinrara-Damansara (Kidex).

  
'Tertekan' dengan asakan ini, Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang akhirnya 'akur' untuk berundur tetapi hasratnya terbantut apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguh untuk menerima peletakan jawatannya sehingga pelantikan baharu ditentukan.  
  
Kemelut politik dalaman PKR itu kemudiannya menjadi virus dan mencetus pergeseran antara parti dalam pakatan pembangkang iaitu PKR, Pas serta DAP apabila empat anggota Exco kerajaan negeri daripada Pas digelar pengkhianat oleh DAP.
  
Ini kerana masih bersama-sama Abdul Khalid dalam menjalankan pentadbiran negeri sedangkan enam lagi anggota Exco kerajaan negeri daripada DAP dan PKR telah meletak jawatan.
  
Pihak istana turut menerima tempias kemelut itu sehingga Sultan Sharafuddin menitahkan agar setiap parti dalam pakatan itu menghantar sekurang-kurangnya dua nama calon menteri besar baharu untuk pertimbangan baginda.