Sultan Nazrin Shah
KUALA LUMPUR - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari bertitah menyarankan agar Pidato Penghargaan Graduan Kehormat ayahanda baginda Almarhum Sultan Azlan Shah 38 tahun lepas, dijadikan rujukan dalam membendung isu sensasi yang boleh mencetus konflik antara masyarakat ketika ini.
  
Pidato itu menyentuh prinsip asas penubuhan Malaysia.
  
Pada 30 Jun 1976 ketika Almarhum menjadi pemeriksa luar ijazah Sarjana Muda Undang-undang Universiti Malaya (UM) dalam pidato selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan, baginda menyentuh aspek keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, prinsip pemisahan kuasa antara Badan Perundangan, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman.
  
Sultan Azlan Shah menyebut pentingnya negara memiliki badan kehakiman yang bebas lagi berkecuali, dan mahkamah hendaklah hanya mengenali keadilan, berkawan mesra dengan kedaulatan undang-undang, bersahabat rapat dengan kebenaran dan berjinak-jinak dengan kejujuran.
  
"Pidato tersebut diakhiri dengan peringatan berikut: "Untuk menjadi masyarakat Malaysia suatu masyarakat yang kuat, dinamik dan tahan lasak, maka seluruh masyarakat di dalamnya perlulah bersatu padu di bawah satu bendera, bendera Malaysia; di bawah satu Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.
  
"Di bawah satu bahasa, Bahasa Malaysia; di bawah satu lagu, lagu Negaraku, di bawah satu kebudayaan, kebudayaan yang berteraskan kebudayaan Melayu; dan di bawah satu lambang, 'Bersekutu Bertambah Mutu," titah Sultan Nazrin pada majlis memperingati Almarhum Sultan Azlan Shah di Dewan Tunku Canselor, UM di sini.
  
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
  
Almarhum Sultan Azlan Shah telah diperkenankan lantikan sebagai Canselor Ketiga UM oleh Yang Dipertuan Agong Kelapan Sultan Iskandar Sultan Ismail berkuat kuasa 8 Februari 1986.
  
Sultan Nazrin Shah bertitah selama 28 tahun sebagai canselor, Almarhum ayahanda baginda telah berangkat menzahirkan titah pada setiap istiadat konvokesyen sejak 1986 hingga 2011.