SHAH ALAM - Dua Exco Selangor mendahului senarai 11 penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) (Kelas Kedua) yang membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita sempena Hari Keputeraan ke-69 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi menerima anugerah itu.

Penerima lain D.P.M.S. ialah Duta Malaysia Ke London Datuk Ahmad Rasidi Hazizi; Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Luar Datuk Rustam Yahaya; Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki, Panglima Armada merangkap Panglima Bantuan Markas Pemerintahan Armada Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohd Ramli; Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera
Darat, Mejar Jeneral Datuk Shahrani Mohd Sany.
 
Pengarah Urusan NRY Architects Sdn Bhd Datuk Mohamed Nazim Tun Abdul Razak; Profesor Pejabat Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohd Azmi Mohd Lila, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Ir Abdul Ghani Hashim.
 
Istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran itu berlangsung di Istana Alam Shah, Klang. - Bernama