Datuk Mustafar Ali 
KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali berharap semua pihak tidak mempolitikkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pendatang asing tanpa izin di Sabah.
 
Beliau berkata kerajaan sedang berusaha membendung perkara itu termasuk penubuhan jawatankuasa tetap mengenai pendatang tanpa izin.
 
Malah, katanya SPRM akan mengambil apa juga tindakan dan menyiasat setiap maklumat yang diterima termasuk jika wujud isu berkaitan laporan itu. 
 
"Bagi isu rasuah, kita mengambil tindakan yang jelas kerana kita tidak pilih bulu. SPRM bertindak secara bebas, telus dan profesional bagi memerangi rasuah," katanya ketika menyampaikan ceramah bertema 'Peranan Pemimpin Masyarakat Dalam Memerangi Rasuah' pada Persidangan Anti-Rasuah peringkat negeri anjuran SPRM di sini hari ini.
 
Beliau berkata demikian menjawab soalan peserta berhubung kewujudan 'kebarangkalian projek Kad Pengenalan (IC)' berdasarkan hasil siasatan laporan RCI yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada Rabu lepas.