Suhaizan Kaiat SHAH ALAM - Orang Melayu perlu memilih antara Pas dan Umno untuk menguatkan kedudukan dan martabat mereka dan bukan gabungan kedua-dua parti itu.
 
Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, jika gabungan itu berlaku, orang Melayu didakwa kehilangan pilihan dalam menentukan parti yang boleh diharapkan memperteguh dan mengembalikan kewibawaan dan kedudukan orang Melayu di negara ini.
 
"Malang sungguh nasib orang Melayu negara ini yang diperintah oleh parti yang kononnya memperjuang nasib mereka, namun hakikatnya kedudukan dan status orang Melayu hari ini semakin terhakis.
 
"Berapa banyak tanah-tanah rizab Melayu yang dijual kepada kroni parti pejuang Melayu kerana mendambakan keuntungan berganda.
 
"Berapa ramai orang Melayu dihalau dari kampung tradisi oleh pemerintah yang kononnya memperjuangkan nasib Melayu," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, semalam.
 
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad semalam yang mengatakan orang Melayu akan terpinggir jika DAP menjadi kerajaan Persekutuan.
 
Katanya, gabungan itu penting untuk memastikan hak Melayu dan orang Islam tidak digugat oleh DAP seperti mana yang menimpa kaum Red Indian di Amerika Syarikat.