Azih Muda 
KUALA LUMPUR - Kenaikan gaji tidak kurang daripada 10 peratus wajar diberi pertimbangan kerajaan dan majikan swasta sejajar dengan peningkatan produktiviti dan prestasi para pekerja di negara ini, demikian menurut kesatuan pekerja sektor awam dan swasta.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata kenaikan gaji juga harus sesuai dengan kenaikan kos sara hidup semasa,  khususnya kenaikan harga barang dan perkhidmatan. 

Selain faktor kemampuan untuk menyara kehidupan seharian, Azih berkata seseorang pekerja khususnya penjawat awam juga perlu sekurang-kurangnya mampu membeli rumah dan menyara pendidikan anak-anak dengan gaji yang diterima. 

"Gaji ini diukur daripada perkara tertentu seperti pencapaian akademik, pengalaman dan juga kebolehan seseorang pekerja itu, (selain itu) gaji juga harus dilihat berdasarkan kos sara  hidup.   

"Tetapi hari ini kita lihat gaji pekerja tidak mampu untuk menampung itu semua (kos sara hidup)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. 

Menurut laporan kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah yang dibentangkan Isnin, kenaikan gaji pekerja adalah perlu, memandangkan produktiviti pekerja di Malaysia terus meningkat sejak tahun 1960. 

Pengarah Urusan institut itu, Datuk Charon Mokhzani dilaporkan berkata, sejak lebih 50 tahun lepas, paras produktiviti pekerja sentiasa me­lebihi paras gaji yang diberikan majikan, dan sejak itu juga pe­ningkatan pembayaran gaji sentiasa tidak setimpal dengan pertumbuhan produktiviti pekerja.