Azman Shapawi Abdul Rani 
KUALA TERENGGANU - Pemimpin Pas terus membidas Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang dikatakan tidak memberi manfaat kepada ahli parti itu kerana badan bukan kerajaan (NGO) itu cenderung memperlekeh kepimpinan Pas terutama

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Keadaan itu memperlihatkan perbezaan antara PKR yang melihat penubuhan Pasma sebagai satu usaha memperkukuh kedudukan PR di negara ini.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, perbezaan pandangan berhubung penyertaan Pasma antara Pas dan PKR berlaku kerana ia tidak menguntungkan Pas, sebaliknya tidak memberi kesan kepada PKR.

“Pasma tidak kritik PKR dan tidak sentuh PKR pun sebab itulah PKR sedia beri kerjasama dan mereka pun seronok dengan Pasma kerana kalau berlaku apa-apa kepada Pas, Pasma akan bersama PKR,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau menjelaskan turut mendengar khabar angin mengenai pelancaran Pasma di negeri ini khususnya di Dungun.

Azman yang juga Naib Ketua Pas Kawasan Dungun berpendapat, pelancaran itu tidak sedikit pun menimbulkan kebimbangan atau sebarang kekhuatiran bahawa Pas akan tergugat.