Rafizi
KUALA LUMPUR - Langkah menurunkan harga petrol RON95 dan diesel mengikut harga minyak mentah yang merudum di pasaran antarabangsa didakwa tidak akan menjejaskan pendapatan negara pada tahun depan.

Rafizi Ramli (PKR-Pandan) membidas spekulasi pihak tertentu bahawa jika penurunan harga bahan api itu diturunkan pada masa ini akan merugikan negara.

"Anggaran pendapatan kerajaan bagi 2015 itu adalah berdasarkan kepada cukai petroleum yang akan dibayar oleh syarikat minyak bagi 2014, dan bukan 2015.

"Walaupun harga minyak di pasaran sudah jatuh, tetapi sebenarnya pendapatan kerajaan tidak begitu terjejas bagi 2015.

"Bagi 2016 mungkin (terjejas) kalau dia terus kekal US$70-80 setong, dan ia akan menjejaskan pendapatan kerajaan pada 2016," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR hari ini mengulangi desakannya supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menurunkan harga petrol dan diesel berikutan harga minyak merudum di pasaran antarabangsa.

Dalam pada itu, Rafizi mendakwa harga minyak mentah piawai Brent telah jatuh ke paras US$82 setong semalam, iaitu harga paling rendah dalam tempoh empat tahun.