Hujan lebat tidak halang himpunan sokong Anwar
PUTRAJAYA - Hujan lebat yang turun kira-kira jam 3.15 petang tidak menghentikan himpunan penyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tinjauan Sinar Harian Online mendapati, himpunan yang berlangsung pekarangan Istana Kehakiman sejak awal pagi hari ini beralih ke bawah khemah di hadapan mahkamah setelah mendapat kebenaran dari pihak berkuasa.

Bagaimanapun penyokong hanya dibenar menggunakan sebahagian kecil ruang di bahagian khemah bagi meneruskan himpunan.

Sebelum ini satu kekecohan dilapor berlaku di lokasi himpunan kira-kira jam 2.40 petang.

Insiden tersebut dikatakan berpunca dari sekumpulan penyokong Anwar bertindak membakar poster pengadu kes Liwat, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Keadaan dilapor bertambah tegang apabila permintaan penyokong Anwar untuk berteduh di bawah khemah akibat hujan berhampiran perkarangan Mahkamah Persekutuan dihalang oleh pihak berkuasa.