Datuk Seri Jamil Khir Baharom 
KUALA NERUS - Muzakarah Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan isu segelintir umat Islam menyentuh dan memegang anjing adalah bertentangan dengan fahaman majoriti umat Islam di negara ini yang berpegang kepada mazhab Imam Shafie.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Islam memuliakan haiwan termasuk anjing namun umat Islam perlu mematuhi ketetapan ditentukan oleh hukum syarak.
 
"Bagaimanapun dalam aspek hukum, soal kemuliaan satu hal dan dalam aspek hukum pula umat Islam perlu mematuhi ketetapan ditentukan oleh hukum syarak di dalam Islam," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian selepas menutup Majlis Multaqa' Ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa seluruh Malaysia 2014 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustaffa dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaaan, Brig Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.