Rafizi Ramli 
KUALA LUMPUR - Rakyat di Malaysia perlu menerima hakikat bahawa barang bersubsidi di negara ini layak dinikmati oleh pekerja asing yang bekerja di sini termasuk rakyat negara jiran yang datang membeli-belah di negara ini.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, hal itu tidak boleh dipertikaikan kerana pekerja asing yang bekerja di negara ini membayar permit yang mahal serta cukai yang tinggi untuk masuk dan bekerja di negara ini.

"Mereka bukan datang percuma ke negara ini tetapi mereka membayar cukai yang lebih tinggi daripada rakyat Malaysia itu sendiri.

"Dengan itu, rakyat Malaysia mengaut keuntungan berbilion ringgit tiap-tiap tahun daripada mereka," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, oleh itu, rakyat Malaysia perlu berlaku adil terhadap mereka.
Menurutnya, semua pihak perlu melihat perkara itu secara menyeluruh dan objektif tentang siapa yang sebenarnya bertanggungjawab menyebabkan kelambakan pekerja asing di negara ini.

Katanya, kelambakan berlaku kerana dasar kerajaan yang kaut keuntungan dengan mengenakan permit dan levi yang tinggi.