Mohamad Sabu 
KUALA LUMPUR - Pas akan menyokong perjuangan Gerakan Hapuskan Akta Hasutan (GHAH) bersama PR dan barisan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan memberikan komitmen penuh dalam membantu gerakan tersebut sehingga Akta Hasutan 1948 yang digubal kerajaan dimansuhkan sepenuhnya.

"Kami akan mengerahkan segala jentera akar umbi di seluruh negara bagi melawan akta ini sehingga ia dihapuskan," tegasnya dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

PKR sebelum ini mengumumkan pelancaran kempen Mansuh Akta Hasutan (MAH) ke setiap negeri mulai September lalu.

Ketika ditanya media tentang perancangan untuk mengadakan demo bantahan, Mohamad bagaimanapun enggan mengulas.

Dalam pada itu, pihaknya turut mendesak Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mendedahkan dan menamakan nama ketua bahagian Umno yang didakwa hadir dalam sebuah pertemuan tertutup 14 Ogos lalu.