Hannah Yeoh Tseow Suan 
SHAH ALAM - Sidang Dun Selangor pada bulan depan bakal memuktamadkan pemilihan calon bagi jawatan Timbalan Speaker setelah penyandangnya, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada wakil Pas menduduki kerusi itu.

Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh berkata, pelantikan jawatan itu akan melalui proses undian dalam sidang Dun pada November depan.

"Kedudukan Timbalan Speaker akan ditentukan oleh Dun Selangor bila bersidang pada November ini, ahli-ahli dewan negeri akan melantik seorang Timbalan Speaker.

"Buat masa sekarang memang jawatan itu dikosongkan, sehingga sidang Dun akan datang," katanya kepada Sinar Harian Online.

Ketika diminta mengulas kemungkinan Pas akan menolak jawatan tersebut, Hannah berkata, sudah tentu PR mempunyai calon lain dan pelantikan itu mestilah mengikut prosedur.

"Selalunya PR akan mempunyai calon tersendiri, calon itu akan dicalonkan dan pelantikan akan dijalankan dalam dewan.

"Jadi saya tak nak komen dulu perkara tersebut.

"Buat masa sekarang memang tiada sebarang pencalonan dan jawatan tersebut masih kosong," katanya lagi.