Ribuan berhimpun sebagai tanda sokongan kepada keputusan Sultan Selangor babit jawatan MB Selangor yang baharu di Shah Alam, hari ini. - Foto Sinar Harian 
SHAH ALAM – Lebih 1,500 rakyat di negeri ini yang mewakili  18 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk penduduk setempat mengadakan Himpunan Menjunjung Kasih Sultan Selangor bagi menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam pemilihan menteri besar.

Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, BN Selangor akur dengan menteri besar pilihan sultan untuk mengemudi pentadbiran negeri agar terus maju dan stabil.

“BN bangkit apabila institusi diraja dicabar dan tidak dihormati dan akan terus berjuang sekiranya selepas majlis angkat sumpah menteri besar baharu mendapat tentangan pihak tidak berpuas hati dengan pilihan sultan.

“Kita kena sokong siapa sahaja yang diperkenan sultan, jika ada mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan tuanku selepas Selasa ini dan juga cuba gugat kestabilan Selangor kerana tidak puas hati dengan keputusan dibuat Tuanku maka BN tidak akan berdiam diri kita akan bangun dan terus berdiri teguh di belakang  tuanku,” katanya ketika Himpunan Menjunjung Kasih Sultan Selangor di Padang Rakyat Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 16, di sini.