Datuk Ahmad Yakub 
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub mendakwa seratus peratus rakyat di negeri itu bersetuju menerima pelaksanaan hukum hudud.
  
Beliau berkata 95 peratus rakyat Kelantan merupakan beragama Islam telah faham dan sedia menerima hukum tersebut.
  
"Lima peratus lagi yang terdiri daripada bukan beragama Islam telah diberi penerangan mengenai pelaksanaan hukum tersebut dan mereka sudah bersedia," katanya kepada pemberita selepas melawat pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, hari ini.
  
Ahmad diminta mengulas kaji selidik dilakukan Merdeka Centre melibatkan pengundi di Semenanjung dan mendapati 58 peratus daripada orang Melayu, 59 peratus daripada orang Cina dan 61 peratus daripada kaum India merasakan bahawa negara ini belum bersedia untuk melaksanakan undang-undang hudud.
 
Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata negeri lain perlu kepada usaha yang lebih untuk memberi penjelasan dan kefahaman tentang undang-undang Islam itu.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mementingkan kesihatan memandangkan peningkatan kes demam denggi di negeri ini.