KUALA LUMPUR - Pas belum membuat apa-apa keputusan berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didesak oleh rakan separtinya, PKR supaya meletak jawatan.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, parti itu akan terus memantau dan berbincang mengenai perkara itu jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

"Kami akan terus dapatkan maklumat selain mengadakan perbincangan untuk mencapai kata sepakat sebelum isu itu diputuskan," katanya.

Mohamad turut mengingatkan ahli parti supaya jangan mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat peribadi.

"Kenyataan biarlah datang daripada keputusan parti, perhubungan negeri atau Pas kawasan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan perkembangan politik Selangor di Pejabat Agung Pas Jalan Raja Laut, semalam.