Namun malangnya ada segelintir yang gagah berpuasa namun dalam bab solat wajib dan sunat langsung dipandang sepi. Ini yang menjadikan pahala puasa dianggap sebagai mendapat lapar dan dahaga sahaja tanpa ganjaran pahala.
Selain berpuasa, ada juga yang terlalu khusyuk bersolat sunat tarawih namun pada bab solat wajib seperti Zuhur, Asar dan Maghrib dibuat ala kadar dengan alasan penat, lapar dan kelam-kabut untuk berbuka pelbagai juadah penuh semeja.
Kesilapan dalam beribadah ini perlu diperbetulkan kerana ia bukan sahaja menyebabkan kualiti amalan kita tidak ada nilai di sisi Allah SWT malah boleh menjerumus kita kepada membuat dosa.
Saban tahun apabila bulan puasa tiba memang ramai yang berazam untuk membuat ibadat sebanyak yang mungkin seperti solat tarawih. Ibadah tersebut yang paling popular selain menunaikan zakat fitrah.
Isu sama ada menunaikan 11 rakaat atau 21 rakaat lebih afdal masih menjadi perbalahan dalam kalangan ummah. Seharusnya kita ambil jalan tengah, jika ingin pahala diraih dalam kuantiti yang besar maka buatlah solat tarawih berjemaah sebanyak 21 rakaat. Tidak perlu ia dijadikan polemik setiap kali Ramadan tiba. Bersolatlah dengan khusyuk kerana tidak guna solat dengan kadar kelajuan ekspres hingga roh rehat dalam tarawih menjadi bebanan fizikal pula.
Dalam bab berpuasa pula, seharusnya umat Islam menunaikan ibadah dengan berkualiti iaitu menepati rukun dalam ibadah tersebut. Tetapkan niat berpuasa sebelum tidur dan niat melewatkan sahur hingga menjelang subuh. Hafal niat berpuasa esok hari di hujung lidah dengan lancar dan bukannya apabila bulan puasa menjelma baru hendak belajar niat berpuasa di dalam blog dan laman sosial kerana malu bertanya kepada rakan dan taulan.