Kurang
selesa dengan kemelut yang melanda kerajaan pakatan pembangkang
Selangor, Pas Pusat membuat keputusan untuk meredakan keadaan dengan
menyatakan pendiriannya menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal
sebagai Menteri Besar.
Pendirian itu dinyatakan Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan
Man di Selangor, sekali gus menafikan segala tuduhan pihak tertentu
yang mengatakan Pas juga bersetuju dengan desakan sesetengah pemimpin
PKR agar Abdul Khalid meletakkan jawatan.
Beliau berkata, pelantikan Abdul Khalid dibuat enam tahun lalu
dengan persetujuan bersama antara rakan komponen dalam pakatan
pembangkang iaitu DAP, PKR dan Pas setelah berjaya menawan Selangor pada
Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) tahun 2008.
Sejak itu, katanya, Pas Pusat dan Selangor tidak pernah mempertikai
atau mempersoalkan kewibawaan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar
sehingga hari ini kerana yakin beliau dapat mentadbir dengan baik.
"Ada sesetengah pihak mendakwa Pas turut bersengkokol dengan
kepimpinan tertentu untuk menjatuhkan Abdul Khalid. Saya ingin jelaskan,
bahawa Pas Pusat dan Selangor tidak sekali-kali menyokong mana-mana
usaha untuk mendesak menteri besar meletakkan jawatan.
"Keputusan dan pendirian Pas adalah jelas, iaitu menyokong
pelantikan menteri besar yang dicapai secara muafakat. Kita tidak akan
menikam kawan dari belakang. Itu bukan prinsip kita dalam bersahabat,"
katanya.