Asmawati memangku anak bongsunya yang hanya diberikan susu pekat manis dan anak keduanya di rumah mereka di Kampung Tengah.  
Asmawati memangku anak bongsunya yang hanya diberikan susu pekat manis dan anak keduanya di rumah mereka di Kampung Tengah.
KUALA KRAI - Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan Ramadan, sebuah keluarga di Kampung Tengah dekat sini, hanya menunggu hari yang dinanti-nantikan ini tanpa sebarang persediaan.

Kesempitan hidup, ditambah pula dengan masalah kesihatan ditanggung Asmawati Samsudin, 29, menyebabkan hari-hari dilaluinya sepanjang Ramadan sama sahaja seperti hari biasa.

Baginya tiada istilah makanan istimewa sebagai juadah berbuka puasa, kerana apa yang ada untuk mengisi perut mereka anak-beranak, itu sudah cukup membuatkannya bersyukur.

“Puasa, raya atau hari biasa tetap sama bagi kami, cuma jika berkemampuan dapatlah belikan pakaian untuk anak-anak," kata wanita tabah ini yang menghidap sakit saraf sejak lebih 15 tahun lalu.

Asmawati dan suami, Zalani Mohamad, 36, lebih mengutamakan keperluan harian mereka enam beranak, berbanding keperluan menyambut Ramadan dan Syawal.

Menurutnya, perbelanjaan keperluan harian mereka bergantung sepenuhnya daripada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300 sebulan.